Home » Langit Terbuka » 10 tahun kariah Bandar Puteri tunggu pembinaan masjid

10 tahun kariah Bandar Puteri tunggu pembinaan masjid

Seorang ahli kariah menunjukkan tapak cadangan pembinaan Masjid Bandar Puteri - Berita Harian

 

KLANG – Kariah Surau An-Nur, Bandar Puteri di sini, menantikan pembinaan sebuah masjid sejak 10 tahun lalu bagi menampung keperluan bilangan jemaah yang semakin meningkat di kawasan itu.

Ketika ini, masyarakat Islam di kawasan terbabit hanya bergantung kepada kegunaan surau dibina sejak 2006 itu, termasuk untuk menunaikan solat Jumaat.

Pengerusi Surau An-Nur, Nurul Amali Mohd Shamsudin, berkata masjid terdekat dengan kawasan itu ialah Masjid Al-Barakah di Taman Sentosa.

“Bagaimanapun, masjid yang dinaik taraf daripada surau itu agak kecil dan sesak menyebabkan jemaah lebih memilih Surau An-Nur.Pada awalnya, penduduk beragama Islam di Bandar Puteri menggunakan sebuah rumah kosong sebagai surau sementara sebelum membeli dua kontena pada 2006.

“Selepas itu, beberapa siri pembesaran ruang dilakukan dari semasa ke semasa bagi menampung bilangan jemaah semakin meningkat. Surau An-Nur kini boleh memuatkan kira-kira 1,400 jemaah,” katanya ketika ditemui.

Nurul Amali berkata, ketika solat Jumaat, surau itu turut menampung pekerja dari kilang di Bandar Botanik dan Bandar Putera berikutan lokasinya berdekatan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Katanya, permintaan untuk sebuah masjid sudah dibuat sejak 2008, malah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi kebenaran untuk membinanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pembinaan masjid baharu itu terpaksa ditunda berikutan kekangan dana tidak mencukupi.

“Kami difahamkan pembinaan masjid di Bandar Puteri memang ada dalam senarai projek kerajaan negeri tetapi tidak pasti bila akan dilaksanakan. Justeru, besar harapan kami agar pembinaan masjid itu dapat dilakukan secepat mungkin selepas 10 tahun menunggu,” katanya.

Nurul Amali berkata, pembinaan masjid baharu itu kelak dijangka dapat menampung kira-kira 2,500 hingga 3,000 jemaah, selain akan dimeriahkan dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Surau kami sangat aktif dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah agama, kelas mualaf, kelas tuisyen dan lokasi untuk kenduri,” katanya.

Bandar Puteri ialah antara kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis selepas persempadanan semula pada Mac lalu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

Bengkel Pelan Strategik YADIM 2024

WALAUPUN Sudah banyak kejayaan yang dikecapi, warga badan dakwah ini diseru untuk tidak cepat berpuas hati, malah perlu berusaha lebih gigih lagi

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *