KUALA LUMPUR – Kesemua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih mempunyai baki hutang disaran untuk mengemaskini maklumat pendapatan mereka secara atas talian melalui portal rasmi PTPTN, www.ptptn.gov.my.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, proses berkenaan boleh di buat di ruangan ‘Pengemaskinian Maklumat Pendapatan’ bermula hari ini hingga selewat-lewatnya 25 Julai ini.
Menurutnya, peminjam PTPTN yang tidak melaksanakan proses pengemaskinian berkenaan akan tidak dipertimbangkan langsung untuk mendapat keistimewaan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN seperti yang ditawarkan dalam manifesto Harapan.
“Selain maklumat pendapatan, peminjam juga perlu mengemaskini maklumat penting yang lain termasuk maklumat perhubungan terkini seperti alamat, nombor telefon serta alamat e-mel dan maklumat pekerjaan.
“Peminjam diingat untuk mengemaskini maklumat pendapatan yang sahih dan benar disertakan dokumen sokongan apabila diminta bagi tujuan audit,” katanya.
Sementara itu, Wan Saiful mengingatkan kepada peminjam yang mempunyai kemampuan untuk membuat pembayaran balik pinjaman untuk terus membuat bayaran walaupun dalam jumlah yang kecil.
Menurutnya, PTPTN komited untuk melaksanakan manifesto Kerajaan bagi meringankan beban hidup yang ditanggung anak muda iaitu dengan mengeluarkan nama peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen dan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi yang berpendapatan RM4000 ke bawah sebulan.
“PTPTN telah selesai mengeluarkan nama seramai 429,945 peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen sebagaimana yang diumumkan 26 Jun lalu.
“Bagaimanapun, kita seru semua peminjam untuk menanam budaya suka membayar balik serta mengelakkan sikap suka menangguh-nangguhkan pembayaran hutang, “.
Sehubungan itu, peminjam boleh melayari portal rasmi untuk tujuan kemas kini maklumat atau hubungi talian Careline PTPTN di 03-2193 3000 untuk sebarang maklumat lanjut. – Sinar Harian
KOMEN