Home » Langit Terbuka » Pelan Komprehensif Jadikan Bahasa Malaysia Pilihan Utama – Maszlee

Pelan Komprehensif Jadikan Bahasa Malaysia Pilihan Utama – Maszlee

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata Malaysia terlalu kecil untuk bahasa kebangsaan dan kita juga akan mempromosinya serta memperkasa bahasa kebangsaan di peringkat serantau ASEAN.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan akan terus menggandakan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bukan sahaja di tanah air, malah di peringkat serantau dan global.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, selaras dengan itu, melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kementerian akan melancarkan Dekad Bahasa Kebangsaan yang akan melakarkan pelan komprehensif untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pilihan utama di tanah air.

“Malaysia terlalu kecil untuk bahasa kebangsaan dan kita juga akan mempromosinya serta memperkasa bahasa kebangsaan di peringkat serantau ASEAN.

“ASEAN juga terlampau kecil untuk bahasa kebangsaan, jadi kita akan bawa bahasa kebangsaan ini di persada dunia,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan dan Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun ini, pihaknya juga akan berusaha menjadikan DBP setaraf dengan lain-lain pusat dan institut bahasa yang dimiliki oleh negara maju.

“Kita akan berusaha menjadikan DBP setaraf British Council, Goethe Institute dan Nippon Institute.

“Melalui hasrat ini, kita berusaha untuk melaksanakan pemartabatan bahasa kebangsaan dan kita akan menjadikannya sebagai kenyataan,” katanya.

Pada masa sama, Maszlee berkata, kementerian juga menyedari budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum mencapai tahap memuaskan.

“Realitinya, ia agak ketinggalan jauh berbanding dengan negara maju. Jadi, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama kementerian lain dan seluruh agensi di bawah Kementerian Pendidikan akan menghidupkan Kempen Membaca Kebangsaan yang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

“Kempen ini membabitkan dua peringkat iaitu dengan dua tahun pertama berbentuk pendekatan agresif, radikal, tidak konvensional dan begitu luar biasa bagi memastikan rakyat Malaysia menjadi rakyat yang membaca.

“Seterusnya pada 2020 hingga 2030, kita akan mengisytiharkan Dekad Membaca Nasional dan sekali lagi, DBP diberi tanggungjawab menerajui inisiatif ini, sekali gus diharap pada 2030, rakyat Malaysia akan dikenali sebagai masyarakat dan rakyat paling banyak membaca di dunia,” katanya. – BERITA HARIAN ONLINE

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/448305/pelan-komprehensif-jadikan-bahasa-malaysia-pilihan-utama-maszlee

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *