IPOH – Taktik sebuah kilang memproses ayam menyalahguna pas pekerja asing demi meraih keuntungan menerusi penjimatan levi terbongkar apabila premis itu diserbu Jabatan Imigresen Perak .
Pengarah Imigresen Perak Kamaluddin Ismail berkata kebanyakan pekerja asing kilang yang terletak di Chemor di sini itu memiliki pas pekerja untuk sektor pertanian, namun diguna bagi sektor pembuatan, melibatkan aktiviti pemprosesan ayam.
“Kemungkinan majikan mahu dapatkan keuntungan dari segi bayaran levi kerana untuk pembuatan anggarannya RM1,850 setahun manakala pertanian pula hanya RM640. Kita syak mereka gunakan pas pertanian untuk dapat keuntungan lebih,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata dalam serbuan tersebut seramai 90 pekerja asing ditahan atas kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahguna pas pekerjaan.
Katanya siasatan mendapati terdapat pekerja yang ditahan telah bekerja selama 10 tahun – BERNAMA
KOMEN