PATTANI – Pasukan keselamatan Thailand menembak mati seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan bersenjata dalam satu insiden berbalas tembakan awal pagi tadi.
Lelaki terbabit dikenali sebagai Sulaiman Muhamad, 37, atau ‘Pak Su’ ditembak mati dalam sebuah rumah di Kampung Karubi, daerah Kapo di sini kira-kira 4 pagi waktu tempatan.
“Lelaki itu ditembak mati selepas berlaku insiden tembak-menembak selama kira-kira 10 minit. Sepucuk senapang patah turut ditemui di sisinya,” kata Ketua Kompeni Renjer ke-44, Kolonel Phumipat Boonreangkhao di sini, hari ini.
Anggota keselamatan katanya, bertindak mengepung rumah berkenaan dan meminta lelaki terbabit yang berasal dari Resak di Narathiwat untuk menyerah diri, tetapi dia enggan dan cuba melarikan diri sebelum ditembak mati.
Pihak keselamatan turut meminta bantuan pemimpin tempatan memujuk Sulaiman supaya menyerah diri.
Ketua Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jeneral Piyawat Nakwanich turut bergegas ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan. – BERNAMA
KOMEN