Home » Langit Terbuka » Jangan ada ‘tangan orang politik’ dalam Tabung Haji

Jangan ada ‘tangan orang politik’ dalam Tabung Haji

Reputasi Tabung Haji selaku badan pengurusan jemaah haji yang cemerlang tidak sepatutnya dipalitkan dengan keputusan kontroversi melibatkan ahli politik.

SHAH ALAM – Peletakan jawatan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim adalah langkah tepat sekali gus mampu membawa lembaran baharu dalam mengembalikan keyakinan orang ramai dalam aspek pengurusan haji.

Felo Centre For Malaysian Political And Economic Transcendence (Competent), Muthanna Saari berkata, fungsi Tabung Haji harus dikembalikan mengikut Akta Tabung Haji 1965 tanpa melibatkan orang politik sebagai peneraju.

Katanya, reputasi Tabung Haji selaku badan pengurusan jemaah haji yang cemerlang tidak sepatutnya dipalitkan dengan keputusan kontroversi melibatkan ahli politik seperti yang berlaku sebelum ini apabila ia turut dikaitkan dengan skandal 1MDB.

“Isu kuota haji dimiliki pihak berkepentingan tertentu perlulah diperbetulkan. Banyak beranggapan bahawa ada ahli parlimen dan menteri mempunyai kuota haji tertentu untuk diberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Sistem ini sememangnya satu sistem “patronage” yang sangat berkesan untuk mendapatkan sokongan politik.

“Kuota haji semasa bagi Malaysia adalah 30,200 orang namun tidak diketahui sama ada angka ini secara keseluruhannya diuruskan di dalam sistem penggiliran yang diuruskan oleh Tabung Haji ataupun tidak? Adakah jumlah kuota haji ini berjaya dipenuhi keseluruhannya setiap tahun?

“Atau memang terdapat kuota dipegang oleh ahli politik yang akhirnya tidak berjaya dipenuhi pada saat akhir sekali gus menafikan hak pendeposit Tabung Haji yang sedang menunggu giliran masing-masing untuk mengerjakan haji. Atau adakah terdapat kuota tambahan lagi selain daripada angka rasmi yang dinyatakan tersebut?,” katanya menerusi kenyataan media.

Muthanna berkata, sekiranya dua fungsi pertama Tabung Haji dapat diperkemaskan oleh pengurusan Tabung Haji, tidak mustahil Tabung Haji boleh kembali menjadi suatu institusi yang mendapat kepercayaan awam.

Pada 24 Mei lalu, Abdul Azeez meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Tabung Haji.

Beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada 2011 dan kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Tabung Haji pada 1 Julai 2013. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *