Home » Wacana » Hanya ada satu jalan…

Hanya ada satu jalan…

Oleh MOHD GUNAWAN CHE AB AZIZ

KITA sering mendengar bagaimana seorang peminat satu pasukan bola, akan asyik bercerita tentang perlawanan yang melibatkan pasukan pujaannya itu. Asal bersembang, akan keluarlah akhirnya tentang pasukan bola tersebut. Bagaimana prestasinya, kehebatan taktikal, pemain bintangnya dan apa sahaja yang berkaitan dengan pasukan itu.

Itu adalah fitrah kejadian kita sebagai seorang manusia. Sama juga apabila kita minat kepada seseorang tokoh, sama ada ahli sukan, ahli politik mahupun artis. Maka kita tidak akan jemu untuk bercakap, mengulas dan mendengar berkenaan tokoh itu. Malah kita mungkin bercakap berjam-jam tentang tokoh itu dan mungkin menjadi peminat tegar tokoh tersebut.

Sering pula kita terlibat dengan perbualan atau percakapan tentang sesuatu hobi atau minat. Ada yang suka pelihara kucing, ada yang suka menjoran, ada yang suka berbasikal dan pelbagai jenis serta bentuk hobi itu. Maka peminat hobi itu akan bersungguh-sungguh bercerita tentang hobi tersebut.

Secara fitrahnya, seseorang peminat itu bukan sahaja suka untuk memperkatakan berkenaan tokoh, objek atau perkara yang disukainya, malah berkecenderungan besar akan cuba mempengaruhi orang lain agar turut meminati tokoh, objek atau perkara yang diminatinya itu. Itu sememangnya sifat semulajadi dalam diri seorang manusia.

Maka berasaskan fitrah ini, kita akan dapat memahami betapa Rasulullah s.a.w dan para Sahabat RA telah bersungguh-sungguh menjalankan usaha dakwah demi mengajak seramai mungkin manusia kepada Allah dan Islam. Cinta mereka kepada Allah merupakan faktor pendorong kenapa mereka sanggup mengorbankan apa sahaja demi untuk membawa manusia kepada Allah, Islam dan kejayaan hakiki di akhirat.

Cuba kita jeling sebentar kepada satu peristiwa di medan Qadissiyyah – tatkala jemaah jihad kaum Muslimin bertembung dengan tentera Majusi Parsi. Amir jemaah jihad pada masa itu ialah Saiidina Saad bin Abi Waqqas RA. Atas permintaan Panglima Parsi yang bernama Rustum, Saad r.a telah menghantar seorang sahabat yang bernama Rabi’ bin Amir RA.

Apabila Saiidina Rabi’ RA telah memasuki khemah mewah Rustum, lalu Rustum bertanya, “Untuk apa kamu datang ke sini?” Lalu dengan tegas Rabi’ RA menjawab, “Kami tidak datang kepada kamu! Bahkan Allah yang telah mengutuskan kami kepada kamu; untuk membebaskan penghambaan sesama hamba kepada penghambaan diri kepada Rabb sekian hamba; daripada kesempitan dunia kepada kelapangan akhirat; daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Inilah gelora iman yang ada dalam diri setiap para sahabat Rasulullah SAW. Iman yang membawa kepada cinta, dan cinta yang membawa kepada keghairahan dan jazbah keimanan untuk membawa seramai mungkin manusia kepada Allah dan Rasul-Nya; kepada keadilan dan keindahan Islam; dan kepada kemuliaan sebenar dalam kehidupan akhirat.

Semangat dan kefahaman yang sama telah terpancar daripada kata-kata pahlawan Islam yang sejati, iaitu ‘Uqbah bin Nafi’ ketika beliau sampai di pantai Lautan Atlantik selepas membuka wilayah Maghribi. Beliau berkata, “Ya Allah, jika aku tahu di sebalik lautan ini ada daratan, nescaya akan aku sampaikan Islam ke sana.” Jelas, ungkapannya mungkin berbeza, namun semangatnya adalah sama. Nur yang menyinari lubuk hati mereka adalah sama.

Hakikatnya, setiap Muslim perlu sedar bahawa tugas dan amanah dakwah merupakan jati diri yang telah diperintahkan oleh Allah Taala kepada mereka. Setiap orang daripada kita adalah da’ie (pendakwah) yang sentiasa membawa orang lain kepada  Allah Taala.  Inilah keputusan dan pentauliahan yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada umat ini. Sebagaimana firman Allah di dalam surah Yusuf ayat 108, yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, mendakwahkan manusia kepada Allah dengan berdasarkan basirah yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (daripada segala iktikad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

Inilah jalan baginda Rasulullah s.a.w! Inilah jalan kita, jika kita benar-benar pengikut baginda Rasulullah s.a.w. Tidak ada jalan kedua mahupun yang ketiga… Hanya ada satu jalan sahaja.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *