Home » Langit Terbuka » SPRM hadir di Tabung Haji

SPRM hadir di Tabung Haji

BEBERAPA anggota polis berkawal di Menara TH ketika pegawai SPRM mengadakan serbuan di lokasi itu semalam. - Foto KOSMO

KUALA LUMPUR 24 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini hadir ke Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak, di sini sebagai kesinambungan siasatan terhadap bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Difahamkan, pegawai SPRM te­lah berjumpa dengan pihak atasan Lembaga Tabung Haji dipercayai bagi membantu siasatan.

Usaha pihak media yang menunggu di pekarangan menara berkenaan sejak pagi gagal mengesan kehadiran pihak SPRM yang dipercayai memakai pakai­an preman tetapi berjaya merakam gambar pegawai polis keluar dari bangunan berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan sepasukan pegawainya hadir ke bangunan berkenaan bagi menjalankan siasatan.

“Ada.” jawabnya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp tanpa memberitahu waktu dan tujuan sebenar pegawainya hadir ke Menara Tabung Haji.

Malam kelmarin dan semalam, SPRM menyerbu dua kediaman Abdul Azeez di Baling, Kedah dan Subang, Selangor serta pejabatnya di ibu negara bagi membantu siasatan berkenaan lantikan kontraktor melibatkan projek seliaan Tabung Haji.

Dalam serbuan tersebut, SPRM merampas mata wang tempatan dan asing bernilai RM1.2 juta serta aset lain termasuk barang kemas dan jam tangan mewah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mendakwa sebahagian wang yang disita milik Kelab Putera 1Malaysia, manakala RM500,000 lagi adalah untuk membiayai misi ke Gaza, Palestin. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *