Home » Langit Terbuka » Jauhi fitnah siber di bulan Ramadan – Mufti Kelantan

Jauhi fitnah siber di bulan Ramadan – Mufti Kelantan

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad

KOTA BHARU: Tabiat setengah individu yang suka mendedahkan aib seseorang, menulis sesuatu yang negatif di media sosial dan melakukan ‘fitnah siber’ perlu dihentikan khususnya pada Ramadan, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Beliau berkata amalan negatif itu wajar dihentikan kerana Ramadan merupakan bulan untuk berlumba-lumba membuat kebaikan dan mengelak daripada berbuat dosa.

“Sebagai umat Islam kita perlulah hormati bulan Ramadan ini. Kita sepatutnya menulis sesuatu yang elok daripada menulis sesuatu yang mendedahkan aib seseorang di media sosial seperti di laman Facebook, Twitter mahupun WhatsApp.

“Perbuatan itu sudah pasti membuatkan individu lain terjejas angkara kita. Jika tiada sebarang aktiviti, lebih elok andainya kita berdiam diri daripada menulis satu ayat yang bertujuan mengaibkan serta menjatuhkan maruah individu lain. Ini seolah-olah trend zaman sekarang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata perbuatan mendedahkan aib orang lain adalah haram di dalam Islam dan diumpamakan seperti mendedahkan aurat diri sendiri.

“Mendedahkan aurat atau aib seseorang seumpama kita mendedahkan aurat kita sendiri di khalayak ramai yang mana ia haram dalam Islam. Adalah lebih baik jika kita ambil peluang dalam bulan yang mulia ini untuk membuat sesuatu yang memberi manfaat seperti membaca al-Quran, berzikir dan bersedekah,” katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *