Home » Langit Terbuka » Beri peluang Kabinet baharu jalankan tugas – Mufti

Beri peluang Kabinet baharu jalankan tugas – Mufti

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Al-Bakri.

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, berkata semua pihak perlu memberi peluang, sokongan dan dokongan kepada kerajaan baharu menjalankan tugas mentadbir dengan baik.

Beliau berkata pandangannya itu berdasarkan kepada wawancara, hasrat dan matlamat yang mengandungi misi serta visi setiap menteri yang dilantik untuk menerajui kementerian masing-masing.

Katanya, beliau yakin lantikan Jemaah Menteri Kabinet telah dibincang dengan panjang lebar oleh kepemimpinan Pakatan Harapan dengan mengemukakan calon terbaik.

“Berdasarkan pengamatan umum kami, setiap calon mempunyai banyak kelebihan tanpa dinafikan sifat basyari ada kelemahan masing-masing.

“(Justeru) Saya yakin dengan kepandaian ilmu dan hikmah mereka serta barisan pembantu yang baik lagi pintar, Kabinet dilantik akan dapat membina dan memajukan negara ini dengan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas pembentukan Kabinet baharu serta pandangannya terhadap pihak yang tidak bersetuju dengan pelantikan senarai barisan Kabinet baharu.

Zulkifli berkata orang ramai perlu menghayati ayat akhir Surah al-‘Asr, ayat 3 yang bermaksud : “…dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Katanya, Rujuk Tafsir al-Tabari, muka surat ke 24/590, menyebut dasar saling berpesan dengan kebenaran membawa maksud:

“Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarangNya”.

Katanya, saling berpesan dengan kesabaran pula bermaksud: “Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah.

“Sayyid Qutb berkata dari kata-kata saling berpesan itu, nampaklah satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan.

“Islam mahukan mereka menjadi umat yang terpilih, kuat, sedar, siap siaga mengawasi kebenaran dan kebaikan dan sentiasa saling berpesan sesama mereka supaya menjunjung kebenaran dan bersabar dalam perjuangan dan hidup saling mesra, bekerjasama dengan semangat ukhuwah Islamiah sebagaimana apa yang disarankan oleh kata-kata berpesan di dalam al-Quran,” katanya.

Justeru, Zulkifli berkata mereka yang tidak mengamalkan empat sifat iaitu beriman, mengerjakan amal soleh, saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran akan rugi. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *