Home » Langit Terbuka » Asrama terbakar penginapan pelajar maahad

Asrama terbakar penginapan pelajar maahad

KEBAKARAN asrama lelaki di Sekolah Tinggi Islam As-Sofa sebenarnya membabitkan penginapan pelajar Maahad Al Baidha' Lil Takwin Al Ulama'. - Foto Ihsan Bomba

SEREMBAN: Kebakaran asrama lelaki di Sekolah Tinggi Islam As-Sofa, Kampung Chengkau di sini awal pagi tadi, sebenarnya membabitkan penginapan pelajar Maahad Al Baidha’ Lil Takwin Al Ulama’.

Menurut kenyataan dikeluarkan pusat pengajian pembelajaran kitab turath itu hari ini, pelajarnya menumpang di asrama sekolah berkenaan dan mendapat kebenaran Kementerian Pendidikan kerana masih menunggu bangunan mereka siap dibina di kawasan berhampiran.

“Kebakaran berlaku jam 1.45 pagi dengan 85 pelajar berada di bangunan asrama berkenaan.

“Sebaik kejadian disedari, bomba dihubungi dan segala usaha serta pelan tindakan kecemasan digerakkan oleh warden serta guru untuk mengeluarkan pelajar ke kawasan selamat,” kata kenyataan itu.

Katanya, pemeriksaan ke atas pelajar dilakukan segera bagi memastikan bilangan mereka mencukupi dan semuanya selamat.

“Pihak maahad sentiasa membuat pemeriksaan rutin pendawaian dan memastikan ia dalam keadaan baik selain mengadakan latihan kebakaran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, pada 7 Mac lalu.

“Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk membantu siasatan bomba dan memastikan keselamatan asrama berada di tahap terbaik, selain melaksanakan pelan tindakan kecemasan.

“Sesungguhnya pihak kami menguruskan bangunan di Maahad Al Baidha’ Lil Takwin Al Ulama’ dengan sempurna, tetapi segala usaha tidak dapat menghalang qada dan qadar,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *