Home » Persuasif » Fitnah di alam siber

Fitnah di alam siber

Oleh WALID MOHD SAID

Kemajuan teknologi yang berkembang pesat pada hari ini merupakan antara nikmat Allah SWT kepada manusia yang patut disyukuri oleh setiap Muslim. Kemajuan ini telah memudahkan manusia serta menjimatkan masa, tenaga, wang dan sebagainya. Jika dahulunya ulama Islam terpaksa merantau merentas benua, mempertaruhkan nyawa dan mengorbankan wang yang banyak demi mendapatkan sepotong hadis atau ilmu baharu yang tidak didapatinya di negeri sendiri, kini semuanya di hujung jari. Hanya dengan satu click seseorang itu dapat maklumat yang diingini tanpa perlu bangun dari kerusinya.

Laman-laman sosial seperti Facebook, Tweeter, Instagram, blog dan sebagainya juga telah memudahkan perhubungan antara manusia walaupun berjauhan beribu batu. Namun, disebalik kemudahan ini, terdapat juga kesan-kesan negatif yang terhasil ekoran kekurangan ilmu untuk membezakan di antara yang benar dengan yang dusta. Kekurangan tersebut ditambah dengan niat yang baik untuk berkongsi ilmu, maka tersebarlah hadis-hadis palsu yang tidak tentu kesahihannya. Rasulullah SAW melarang keras perbuatan berdusta terhadap Baginda sebagaimana sabdanya:

لا تَكْذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجْ النَّار

Maksudnya: “Janganlah kamu berdusta terhadapku, kerana barangsiapa berdusta terhadapku maka masuklah ia ke dalam api neraka.” (HR Bukhari: 106).

Penyebaran hadis-hadis palsu di alam siber didorong oleh beberapa faktor antaranya:

  1. Keinginan untuk menyebarkan ilmu yang akan menjadi saham akhirat.

Ilmu yang disampaikan lalu dimanfaatkan oleh orang lain akan mengaktifkan akaun pahala si penyebarnya, hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ

 Maksudnya: “Barangsiapa menghidupkan dalam Islam satu sunnah (amalan) yang baik lalu diamalkan (oleh orang lain), akan dicatat baginya sebanyak pahala mereka yang mengamalkannya sedang tidak dikurangkan dari pahala mereka sedikit pun, dan barangsiapa menghidupkan dalam Islam satu amalan  yang buruk lalu diamalkannya, akan dicatat ke atasnya sebanyak dosa mereka yang mengamalkannya sedang tidak dikurangkan dari dosa-dosa mereka sedikit pun” (HR Muslim: 8/ hlm 61).

Saranan dalam hadis tersebut telah mendorong manusia untuk berlumba-lumba mem’forward’kan sebarang bentuk informasi, terutama yang berunsur keagamaan termasuklah kata-kata yang disandarkan kepada Baginda SAW sedangkan Rasulullah SAW tidak pernah mengatakannya. Sekalipun dengan niat yang baik, perbuatan ini amat ditegah oleh Baginda SAW.

  1. Kurangnya kesedaran tentang kepentingan menyelidiki sesuatu khabar berita.

Memastikan kebenaran sesuatau khabar adalah antara tuntutan dalam Islam. Allah SWT mengingatkan kita supaya menyelidiki sesuatu berita yang disampaikan, firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (al-Hujurat: 6).

Sikap berhati-hati dalam mempercayai sesuatu berita yang diterima adalah satu sifat yang terpuji. Pendirian sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abu Ayyub Al-Ansari RA dalam kisah Al-Ifk (fitnah terhadap Aishah RA) seharusnya menjadi pengajaran dan ikutan kepada umat Islam.

Apabila tersebarnya fitnah terhadap Aishah RA, berkata Um Ayyub kepada Abu Ayyub: “Tidakkah kamu dengar apa yang mereka perkatakan tentang Aishah?” Jawab Abu Ayyub: “Dengar, dan cerita itu adalah dusta, adakah kamu akan melakukan perkara yang sama wahai Um Ayyub?” Beliau menjawab: “Tidak demi Allah,” berkata Abu Ayyub: “Maka demi Allah, Aishah RA lebih baik daripada kamu.” (Sirah Ibn Hisham: 2/ hlm 303).

Sikap bersangka baik terhadap saudara seIslam yang ditunjukkan oleh Abu Ayyub RA telah dipuji oleh Allah SWT dalam surah an-Nur, firman Allah SWT:

لوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنْفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُبِينٌ

Maksudnya: “Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.” (an-Nur: 12)

  1. Sikap ekstrem terhadap individu, kumpulan, fahaman atau idelogi tertentu.

Terdapat segelintir masyarakat yang cuba menyokong ideologi yang mereka anuti, maka sebarang hadis yang boleh dijadikan sandaran disebarkan kepada orang lain tanpa diselidiki statusnya. Allah SWT menuntut kepada kita supaya berlaku adil dalam menghukum sesuatu perkara, firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

 Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” (al-Maidah: 8).

Berkata Ibn Sa’di dalam tafsirnya: “…bahkan seperti mana kamu bersaksi untuk pemimpinmu, maka bersaksilah ke atasnya (sekiranya ia berlaku zalim), dan seperti mana kamu bersaksi ke atas musuhmu maka bersaksilah untuknya (jika ia benar), sekalipun ia seorang yang kafir atau ahli bidaah, kerana wajib mengadilinya serta menerima kebenaran darinya…”

Berdasakan kefahaman dari ayat tersebut, seorang pengguna laman sosial yang adil, hanya menyebarkan fakta yang benar sama ada ianya memihak kepada kumpulan dan ideologi yang dianutinya atau sebaliknya.

Apakah yang patut dilakukan apabila mendapat hadis yang tidak diketahui statusnya?

Berikut beberapa langkah yang dicadangkan iaitu:

  1. Bagi mereka yang mempunyai latar belakang dalam pengajian Islam, boleh merujuk kepada beberapa aplikasi yang dapat menerangkan status hadis seperti Maktabah Syamilah, Jawami Al-Kalim dan lain-lain.
  2. Bagi masyarakat awam yang tidak mahir tentang disiplin ilmu Quran dan hadis, maka hendaklah merujuk kepada ilmuan-ilmuan yang diyakini ilmu mereka supaya dapat mengetahui status serta tafsiran yang betul terhadap ayat Quran dan hadis Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

 Maksudnya: “Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.” (Al-Anbia’: 7)

  1. Bagi mereka yang tidak dapat melakukan dua langkah di atas maka lebih baik dan selamat tidak menyebarkan hadis tersebut kerana dikhuatiri tersilap dan menyandarkan sesuatau kepada Nabi SAW sedangkan Baginda tidak pernah mengatakannya. Sabda Rasulullah SAW:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

 Maksudnya: “Cukuplah sebagai pendustaan apabila seseorang menceritakan segala yang didengarnya.” (HR Muslim: 1/ hlm.8). – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *