Perebutan kuasa yang bawa perpecahan ditegah agama
KUALA LUMPUR 2 Mei – Tsunami Melayu yang sedang rancak digerakkan parti tertentu dilarang kerana akan menyebabkan orang Melayu Islam berpecah hingga boleh membawa keuntungan besar kepada politik bukan Islam.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, sehubungan itu, perkara-perkara yang boleh merugikan orang Islam termasuk kerugian dari segi kuasa politik perlulah ditinggalkan.
“Tsunami Melayu, apa tujuannya? Untuk memecahbelahkan orang Melayu? Tak baguslah begitu. Hal ini dilarang agama kalau kita dah tahu berlakunya perpecahan seperti merebut kuasa hingga merugikan orang Melayu dan agama.
“Tak boleh kita berkawan dengan bukan Islam sehingga tinggalkan orang Islam (sebagai sekutu). Ia dilarang agama. Kalau tidak mengendahkan apa yang terkandung dalam al-Quran ini, tunggulah azabnya,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Tegas Abdul Rahman, bersepakat untuk pembangunan umat Islam merupakan rahmat kerana al-Quran mengingatkan setiap mukmin itu bersaudara yang bermakna perlu ada kasih sayang, tolong-menolong dan bersatu padu.
“Saya nak ingatkan semua berhubung firman Allah SWT dalam ayat ke-10, surah al-Hujurat yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat,” jelasnya.
Januari lalu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, sekiranya Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak boleh membantu mewujudkan tsunami perubahan dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini, maka tiada pemimpin politik lain yang mampu melaksanakan misi tersebut.
Dalam pada itu, akhbar Sinar Harian terbitan 6 April lalu pula melaporkan Dr. Mahathir keitka berceramah dalam Jelajah Gabungan Pembangkang PKR di Johor berkata, tsunami Melayu dijangka berlaku pada PRU-14 ini berdasarkan sokongan yang diterima dalam setiap program.
Sementara pada 23 April lalu pula, Presiden PAN, Mohamad Sabu atau Mat Sabu seperti dilaporkan beberapa media yakin tsunami Melayu yang akan berlaku pada PRU-14 membolehkan beliau menang bergaya di Parlimen Kota Raja. – UTUSAN
KOMEN