KUALA LUMPUR 30 April – Seorang lelaki warga Denmark menjadi individu pertama mengaku bersalah mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018, dihukum penjara seminggu dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Salah Salem Saleh Sulaiman, 46, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris kerana berniat jahat menerbitkan berita tidak benar melalui rakaman video berhubung kelewatan pihak polis tiba di lokasi pembunuhan seorang imam yang juga pensyarah warga Palestin, dua minggu lalu.
Hakim Zaman Mohd. Noor memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 23 April lalu dan penjara sebulan jika gagal membayar denda selain turut memerintahkan lelaki tersebut untuk memadam video yang telah dimuat naik di laman YouTube berkenaan.
Tertuduh yang berasal dari Yemen didakwa merakam video tersebut melalui akaun YouTube atas nama ‘salah sulaiman’ bertajuk ‘Pembunuhan Sheikh Al Ghazawi Fadi Al Batsy di Kuala Lumpur, cukuplah Allah bagi kami sebaik-baik wakil’ di sekitar kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Setapak di sini antara pukul 6.50 pagi dan 9 pagi, 21 April lalu.
Dia yang bekerja sebagai pembersih kuda di negaranya didakwa mengikut Subseksyen 4(1) Akta Antiberita Tidak Benar (Akta 803) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang melawat negara ini sejak 11 April lalu tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana mempunyai tiga isteri dan enam anak serta berulang kali memohon maaf kepada mahkamah.
“Saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Saya tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa. Saya tidak tahu ada undang-undang seperti ini dan berbuat demikian kerana tidak mempunyai pengetahuan tentangnya,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd. Yushaa memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tindakan menyebarkan berita tidak benar dapat dicegah dan dihalang serta mengambil kira perbuatan itu menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara.
“Perbuatan itu turut mengguris hati keluarga mangsa dan saya memohon agar mahkamah memerintahkan tertuduh untuk memadam video berkenaan,” kata Noor Jazilah.
Mengikut fakta kes, siasatan mendapati pihak polis tiba di lokasi kejadian lebih awal daripada 50 minit dan bukannya tiba selepas lebih 50 minit kemudian seperti yang didakwa oleh tertuduh melalui video bertajuk ‘Saksi Imam Palestin Dibunuh’ berdurasi satu minit 49 saat dengan sarikata bahasa Melayu.
Kandungan video tersebut memaparkan berita tidak benar bertujuan menjatuhkan imej PDRM.
Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) warga Palestin, Dr. Fadi Mohammed Al Batsh, yang mati ditembak di luar kondominium Idaman Puteri, Setapak semasa berjalan menuju ke Surau Medan Idaman untuk mengimamkan solat Subuh pada kira-kira 6 pagi, 21 April lalu. – UTUSAN
KOMEN