Home » Persuasif » Kesalahfahaman tentang Islam sebagai sistem hidup yang lengkap

Kesalahfahaman tentang Islam sebagai sistem hidup yang lengkap

Oleh ISMAIL IBRAHIM

 

SATU masalah besar yang timbul dalam masyarakat Islam pada masa kini ialah masalah kekeliruan dalam memahami Islam sebagai “cara hidup yang lengkap” atau yang selalu di istilahkan sebagai “ad-deen”. Kefahaman tentang Islam sering merupakan kefahaman yang tidak seimbang diantara tiga komponen agama, iaitu akidah, syariah dan akhlak.

Kefahaman tentang agama yang seharusnya difahami berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang mendalam, sering diremehkan oleh kefahaman yang disalutkan dengan emosi, kecetekan pemikiran dan visi Islam yang sebenarnya, berdasarkan ikut-ikutan, atau fahaman sempit dan salah, partisan dan sebagainya.

Contoh mudah yang dapat kita saksikan saban masa ialah tentang perkara berikut. Program TV, radio dan tulisan-tulisan mengenai agama di dalam media cetak dan media baru, kebanyakannya hanya menekankan tentang satu aspek sahaja tentang agama, iaitu tentang ritual, ibadat khusus, doa, zikir, wirid dan sebagainya. Ketika melihat tema satu program TV yang terpampang sebagai “penghayatan Islam” atau “kedinamikan Islam” umpamanya, maka yang ditayangkan ialah orang membaca doa, atau kumpulan nasyid mendendangkan lagu nasyid sahaja.

Sungguhpun doa merupakan otak ibadat dan amalan yang tidak seharusnya terhakis daripada orang Islam, tetapi tidaklah pula doa ini dijadikan satu-satunya amalan Muslimin sepenuhnya. Usaha, ikhtiar, beramal dengan penuh tenaga dan fikiran haruslah mengiringi doa ini, dan perkara ini haruslah digambarkan dalam visual dan impak program tv itu, supaya penonton mendapatkan kefahaman yang lebeh jelas tentang amalan agamanya.

Kalau kita pergi ke kedai-kedai buku, maka buku yang dinamakan sebagai “buku agama” juga membicarakan tentang hal yang sama, merangkumi bekalan untuk akhirat semata-mata, tidak banyak menyentuh tentang kehidupan kita sebagai orang berilmu, berpengetahuan dan mempunyai pandangan yang jauh tentang sains dan teknologi yang dapat mencorakkan kehidupan kita di dunia yang sebenarnya merupakan satu jambatan demi mencri kebahagiaan di akhirat.

Malah lebih daripada itu, buku-buku “agama” seolah-olah tidak perlu berbicara tentang kehidupan di dunia yang menyentuh persoalan ekonomi, teknologi, industri, etika akhlak dan moral kerohanian dan semua bidang kehidupan di dunia, yang ada kalanya dilihat sebagai sesuatu yang boleh melupakan orang Islam tentang akhirat dan kehidupan kerohanian mereka.

Apabila kita mengunjungi kedai-kedai yang menjual ubat tradisional pun, maka kita akan menemui ubat-ubat yang dikatakan “ubat Islam”, iaitu air yang dijampi, habbatul sauda’, kurma, kismis, za’faran dan sebagainya, seolah-olah itulah sahaja ubat-ubatan untuk orang Islam bagi menyembuhkan penyakit mereka. Inilah juga produk-produk perubatan yang selalu diiklankan di dalam media cetak dan elektronik tak berhenti-henti, terutamanya media elektronik “agama”.

Kita tidak menentang amalan agama yang fundamental dan asasi ini, kita menerima segala amalan ibadat khusus dan kerohanian ini sebagai asas yang amat penting dalam kehidupan orang Islam, kerana  ibadat adalah merupakan satu amalan yang asasi bagi orang Islam, doa merupakan “otak” ibadat, zikir adalah penawar, malah ibadat khusus adalah merupakan perintah Allah dan Rasul-Nya yang tidak boleh ditinggalkan.

Namun apabila penekanan hanya diberikan 100 peratus terhadap kehidupan ini, maka kehidupan orang Islam tidak akan menjadi seimbang dan senada dengan falsafah beragama yang sering ditegaskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w yang menekankan tentang kepentingan dunia dan akhirat.

Penerusan dalam menekankan tentang hal-hal akhirat ini sahaja, akan membawa kehidupan orang Islam jauh tertinggal dari arus perdana kehidupan kita di dunia yang serba mencabar dan maju ini. Kita akan terpinggir daripada kemajuan teknologi baru, daripada alam ekonomi dunia, malah daripada alam ilmu pengetahuan yang bermanfaat umumnya, dan kita pada masa itu  akan ditinggalkan di dalam masjid-masjid kita atau surau-surau kita sahaja, kita akan dilalaikan oleh musuh dengan memerangkap kita dalam alam rohani kita sahaja, sedangkan mereka mengambil kesempatan mengaut kekayaan kita, menindas pemikiran kita, menyebabkan kita merasa tertekan dan teraniya, maka kita akan bangun berjihad, membunuh mereka, atau membunuh sesama kita yang kita anggap sebagai musuh kita walaupun mereka seagama dengan kita, kerana mereka tidak berada dalam kelompok kita, yang tidak sealiran dalam politik dan amalan kita, yang kita anggap sebagai musuh, sama juga seperti musuh yang terdiri dari kalangan bukan Islam.

Dunia Barat dan musuh-musuh Islam memang amat cemburukan kemajuan orang Islam, kekayaan negara-negaranya, juga umat Islam yang cuba bangun untuk bersaing dengan mereka. Mereka mahu dunia ini hanya untuk mereka, dan inilah yang sedang mereka lakukan dalam mengaut kekayaan negara-negara Islam yang mengeluarkan minyak umpamanya, iaitu berusaha melemahkan umat Islam di sana dengan menindas mereka supaya segala kekayaan negara-negara kaya itu dapat diusahakannya untuk kepentingan mereka semata-mata.

Satu ketika dulu, iaitu sekitar tahun-tahun tujuh puluhan, ketika timbulnya semangat orang Islam untuk kembali kepada ajaran Islam yang tulen di dalam semua aspek kehidupan mereka, maka terdapat gerakan yang agak teratur di kalangan pemerintah dan kalangan orang bukan Islam yang menggalakkan orang Islam bergerak cergas dalam kehidupan kerohaniaan mereka dan meninggalkan dunia ini sepenuhnya. Biarlah orang-orang Islam berkumpul ribuan orang di satu tempat, di India umpamanya, dan dalam perjumpaan itu mereka beribadat dan beramal dalam meningkatkan kerohaniaan dan spiritual mereka sahaja.

Dengan itu kumpulan yang hanya menekankah tentang kehidupan kerohanian dan ibadat khusus dalam menjalankan aktiviti mereka, disulami dengan ceramah dan nasihat agama yang juga tertumpu kepada aspek  yang sama, maka mereka akan melupakan dunia ini dalam realitinya dari segi pembangunan ekonomi, ilmu pengetahuan, politik, dan aspek lain yang menyentuh alam nyata ini.

Oleh itu, ketika umat Islam pada masa-masa yang terakhir ini nampaknya mulai menyempitkan tentang falsafah dan konsep kerohaniaan Islam dalam bentuk spiritual dan ritual ini, rasanya kita sebagai orang Islam haruslah cuba memahami semula apakah konsep Islam itu yang sebenarnya, apakah takrifan “Al-Deen” itu, apakah maknanya agama yang bererti “cara hidup yang lengkap dan menyeluruh” itu?

Apakah agama bagi kita ialah amalan yang  hanya menumpukan seratus peratus kepada satu bahagian sahaja dalam agama  iaitu bahagian kerohanian dan ibadat khusus? Apakah beragama maknanya kita seharusnya mengetepikan kehidupan di luar yang dianggap sebagai kehidupan dunia yang tidak mempunyai hubungan dangan akhirat, ritual, ibadat khusus, doa, zikir, dan sebagainya sahaja?

Hal ini perlu kita fahami dengan baik, kerana kalau demikianlah takrifan dan konsep agama, maka apakah pula maknanya doa yang sering kita baca  yang meminta supaya kita diberikan kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat? Dimanakah letaknya falsafah dan cara hidup Islam yang terkandung di dalam firman Allah yang menuntut kita supaya berusaha dalam bidang yang dikurniakan Allah kepada kita untuk hari akhirat, disamping tidak melupakan nasib kita di dunia ini?

Kalau kita meninjau kepada sejarah silam Islam, kita amat berbangga dengn zaman kegemilangan umat Islam dan para pemikir serta ahli falsafahnya pada ketika itu yang menjadi pelopor kepada bidang  ilmu sains, perubatan, astronomi, matematik, dan sebagainya. Kita bernostalgia dengan kemajuan dan sumbangan mereka kepada dunia, ketika umat lain masih berada dalam zaman kemunduran. Tetapi memadaikah kita hanya bernostalgia dan berdendang dengan irama indah itu sahaja tanpa kita usahakan bagaimanakah caranya aagar umat Islam kini kembali bangun menjadi peneroka ilmu pengetahuan seperti yang dipaparkan di dalam sejarah kegemilangan umat Islam itu.

Perhatikan program agama dalam TV, radio, ceramah agama, forum, dan sebagainya yang dikatakan sebagai program agama itu. Adakah disebut tentang kefahaman kita yang menyeluruh terhadap pengertian agama dalam aspek pembangunan manusia yang sempurna dalam dunia ini? Adakah buku-buku yang ditulis tentang agama yang menggalakkan usaha memperthankan diri dalam bidang ilmu, teknologi, politik, etika dan akhlak, malah dalam memahami bagaimanakah agama memainkan peranan dalam pembangunan perdagangan, industri dan pembangunan keduniaan secara menyeluruh bagi umat Islam sendiri pada masa kini?

Apakah umat Islam memahami sejarah kebangkitan umat Islam dan para pejuang serta para intelektual dan pemikirnya yang silam, yang membangunkan tamadun dan peradaban yang tinggi di dalam semua aspek pembangunan manusia ini? Apakah kita telah mengkaji bersungguh-sungguh bagaimanakah Islam dalam masa yang singkat sahaja telah sampai ke Eropah, iaitu ke Barat dan juga ke Timur dengan penampilan tamadun mereka yang agung?

Memang umat Islam seharusnya mempunyai inovasi dan daya kreativitinya sendiri dalam dunia moden ini, tetapi realitinya kita haruslah bergerak seiring dengan kemajuan dunia moden pada hari ini sementara menunggu kekuatan kita sendiri, umpamanya dalam menciptakan ubat-ubatan yang di namakan “ubat Islam” maka kita seolah-olah ingin melupakan ubat-ubatan yang telah diciptakan selama ini dengan menggunakan kaedah ciptaan yang saintifik dan teknologi baru yang sentiasa membangun dengan pembangunan akal fikiran dan kemajuan ilmu manusia.

Kita haruslah mengadakan perseimbangan dalam memberikan kefahaman kepada umat kita, terutamanya generasi baru kita, tentang apakah ertinya Islam? Apakah ertinya sains Islam, perubatan Islam, yang selama ini nampaknya telah kita terlalu memperkecilkan fokusnya kepada ritual dan doa saja.

Ada orang yang tidak lagi percaya kepada proses perubatan moden, terapi moden umpamanya, maka sikap tawakal kepada Allah seolah-olah telah menjelma menjadi  satu penyerahan bulat-bulat tanpa usaha dan ikhtiar dengan menggunakan teknik dan kaedah ilmu manusia yang moden.

Kita percaya dan penuh beriman kepada Allah s.w.t, kepada doa dan zikir, wirid dan munajat kepada Allah, percaya kepada dasar yang fundamental dalam agama dan ajaran kerohanian Islam, tetapi dalam masa yang kita juga haruslah melihat dunia ini dari kacamata akal manusia yang baru, yang juga dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya. Kita perlu menuntut ilmu walau di mana saja datangnya asalkan tidak membawa kepada kesesatan.

Semuanya ini perlulah diperbetulkan ketika kita berbicara tentang “agama”, tentang pendidikan agama, ubat agama, pengetahuan agama, program agama, tulisan agama, lakonan agama, dan sebagainya. Kita haruslah membuka mata umat kita tentang hidup “sebelah lagi” bagi orang Islam, iaitu hidup di dunia, bukan hanya hidup diakhirat. Malah kehidupan dunia dan akhirat adalah merupakan kehidupan yang sepadu yang dimulai ketika berada di dunia ini lagi.

Kalau kita hanya asyik menekankan tentang agama dalam aspek kerohaniaan saja, maka kita akan ditinggalkan oleh kemajuan dunia dan manusia lain, sedangkan kita selalu membaca ayat al-Quran yang menyebut bahawa nasib kita tidak akan diubah oleh Allah s.w.t, sekiranya kita tidak berusaha mengubah apa yang ada di dalam diri kita sendiri. Apa yang ada di dalam diri kita ialah akal fikiran  dan pembentukan sikap yang betul, mencipta tamadun dan peradaban kita, cara hidup dunia akhirat yang dinamik, juga jati diri kita sendiri, inilah perkara-perkara yang harus dibetulkan di dalam diri kita sendiri.

Dalam amalan ritual dan ibadat kita pun seperti yang telah ditentukan, kita dapat melihat bagaimana pembahagian waktu dan ketika amalan itu seharusnya dilakukan, dan hal ini telah memberikan gambaran bahawa amal ibadat khusus itu bukanlah segala-segalanya dalam kehidupan  seorang Muslim.

Dalam masa dua puluh empat  jam sehari semalam kita hanya wajib menunaikan ibadat solat sebanyak lima kali sahaja. Dalam masa dua belas bulan hidup kita, kita hanya wajib mengerjakan puasa hanya sebulan sahaja, demikian juga dalam kehidupan kita sepanjang hayat, sekiranya kita mampu, maka kita hanya wajib menunaikan ibadat haji sekali sahaja.

Kita juga sering membaca atau mendengar pendakwah menyatakan beberapa peristiwa semasa hayat Rasulullah swt yang menunjukkan bahawa kehidupan seorang Muslim adalah terbahagi kepada dua, dunia dan akhirat, iaitu merangkumi aktiviti kehidupan dunia dan amal ibadat untuk belakalan akhirat. Terdapat sekumpulan orang Islam yang hanya beribadat sepanjang masa di dalam masjid, dan ketika ditanya siapakah yang memberi makanan kepada mereka, jawab mereka : orang-orang di luar sanalah yang memberikannya. Lalu di sebut oleh Rasullah SAW bahawa kalau begitulah keadaannya maka mereka yang meberi makan itu adalah lebeh baik dari orang-orang yang hany menghabiskan masanya beribadat lama di dalam masjid.

Banyak perkara lain yang boleh dibicarakan tentang kepentingan orang Islam menggabungkan kehidupannya sama seimbang di antara kehidupan dunia dan akhirat. Maka hal ini sekali lagi mendorong  kita untuk bertanya: kalau demikianlah ertinya Al-Deen dan cara hidup Islam, kenapakah kita apabila berbicara tentang Islam hanya memfokuskan tentang ibadat khusus, doa, zikir, dan aspek-aspek kerohanian sahaja, sedangkan sesuatu yang lebeh menyentuh kehidupan dunia dalam semua bidang yang menjadi rencah hidup kita pada zaman ini kita tinggalkan, seolah-olah hal itu tidak merupakan satu formula yang penting dalam kehidupan orang Islam.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *