Home » Langit Terbuka » Tambahan kuota dipertimbang

Tambahan kuota dipertimbang

ABDULLAH Medlej Al Madlej (duduk, lima dari kanan) dan Mohamad Fuzi Harun (duduk lima dari kiri) bersama alumni program Tetamu Dua Kota Suci, antaranya Hassan Mohd. Noor (berdiri tiga dari kanan) di Kuala Lumpur, baru-baru ini. -UTUSAN

KUALA LUMPUR 29 April – Kedutaan Besar Arab Saudi di sini akan mempertimbangkan permohonan alumni Tetamu Dua Kota Suci yang mahu kuota jemaah haji bagi program khas tersebut ditambah.

Dutanya, Mahmoud Hussein Qattan berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan itu berikutan ia disuarakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Kita tidak pernah meminggirkan rakyat Malaysia sejak terlibat dalam program ini dan sudah pasti apa sahaja hasrat yang disuarakan akan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan Arab Saudi.

“Malah sebagai penghargaan, kita menganjurkan majlis penghargaan dan kenangan silaturahim kepada alumni Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis itu di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Dr. Abdullah Medlej Al Madlej serta alumni program antaranya Mohamad Fuzi; Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil dan Penolong Ketua Pe­ngarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor.

Menurut Mahmoud Hussein, majlis itu juga julung kali diadakan selepas Malaysia menyertai program tersebut kira-kira 10 tahun lalu bersama 140 negara lain.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa bersungguh-sungguh dalam melaksanakan usaha berkenaan dan akan terus memberi perkhid­matan terbaik kepada semua umat Islam di seluruh negara.

Program Tetamu Dua Kota Suci merupakan program khas yang dilaksanakan khusus untuk rakyat negara ini yang mendapat pencalonan daripada Kedutaan Arab Saudi, ketua pejabat agama, individu yang berkhidmat de­ngan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada masa ini, kuota haji bagi rakyat Malaysia untuk program tersebut adalah kira-kira 50 orang setahun dan kini terdapat lebih 500 alumni.  – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *