Home » Langit Terbuka » Kajian dapati minuman kesihatan tidak menyihatkan

Kajian dapati minuman kesihatan tidak menyihatkan

Kajian mendapati minuman kesihatan tidak begitu menyihatkan kerana mengandungi pemanis tiruan yang boleh mengakibatkan obesiti dan diabetes. (gambar hiasan)

LONDON 24 April – Satu kajian mendapati minuman kesihatan mungkin tidak begitu menyihatkan kerana pemanis tiruan seperti aspartame masih boleh menyebabkan obesiti dan diabetes.

DailyMail melaporkan, kajian sebelum ini menunjukkan bahawa gula gantian tanpa kalori boleh merosakkan saluran darah, sekali gus meningkatkan risiko mengalami strok dan dementia.

Ketua pengarang, Dr. Brian Hoffman dari Universiti Marquette, Milwaukee dalam kenyataan mengenai hasil kajian terkini itu berkata, kunci untuk menyelesaikan masalah kesihatan yang berkaitan diabetes dan obesiti tidak hanya semudah berkata ‘berhenti mengambil pemanis tiruan’.

“Seperti komponen pemaka­nan lain, saya ingin memberi­tahu orang ramai bahawa kese­derhanaan adalah kunci bagi sesiapa yang berasa sukar untuk mengawal pemakanan mereka,” katanya.

Beliau menambah, melalui pemerhatian dilakukan, penggantian gula kepada pemanis tiruan tanpa kalori boleh mengakibatkan perubahan negatif dalam metabolisme lemak dan tenaga.

Hasil kajian juga mendapati jika pemanis tiruan acesulfame potassium yang terkumpul da­lam darah berada pada tahap tinggi, boleh membahayakan sel saluran darah.

Dalam satu kajian sebelum ini menunjukkan bahawa kombinasi terbaik untuk pesakit diabetes atau obesiti adalah ‘sarapan seperti raja’, ‘makan tengah hari seperti putera’ dan ‘makan malam seperti peminta sedekah’.

Menurut kajian itu juga, pe­ngambilan makanan hanya tiga kali sehari dalam jumlah yang berbeza juga menurunkan tahap glukosa dan keperluan insulin pesakit kencing manis, selain mengawal rasa lapar dan pengambilan karbohidrat.

Ketua pengarang, Dr. Daniela Jakubowics dari Universiti Tel Aviv berkata, bila dan berapa kerap anda makan adalah lebih penting daripada apa dan berapa kalori anda makan.

“Metabolisme tubuh berubah sepanjang hari dan sekeping roti yang diambil waktu sarapan mempunyai tindak balas glukosa yang rendah serta kurang menggemukkan berbanding roti yang sama diambil pada waktu petang,” katanya.

Lebih 29 juta orang dewasa di Amerika Syarikat dan satu daripada 17 orang di United Kingdom menghidap diabetes. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *