“Saya turun padang untuk bersama memartabatkan al-Quran sebagai jantung kehidupan kita,” kata selebriti Norman Hakim atau nama sebenarnya, Mohamed Nurhakim Zaidon, 42 yang juga Duta #QuranHour.
Beliau ditemui ketika menghadiri Majlis Prapelancaran World #QuranHour 1439H dan Taklimat Sinergi Media Utama di Utusan Melayu, Kuala Lumpur, 27 Februari lalu. “#QuranHour sebagai platform mengajak peminat untuk berinteraksi dengan al-Quran sebagai pemberi syafaat kepada kehidupan kita di dunia dan akhirat. Kini gelombang al-Quran semakin meluas hingga ke luar negara.
“Atas nawaitu dan dua kalimah syahadah untuk berbakti kepada ALLAH, dan hidup kita berpaksikan dengan al-Quran, ALLAH akan mempermudahkan. Saya ingin melakukan apa yang terbaik untuk diri, keluarga dan agama.
“Apabila masuk usia 40 tahun, saya mencari anjakan kehidupan kepada akhirat. Jika kita mendahului akhirat, dunia akan mengejar kita. Kini saya dalam proses memahami dan mendalami skrip kehidupan yang terkandung dalam al-Quran. Dari situ, saya cuba istiqamah.”
Demikian penjelasan Norman Hakim apabila ditanya tentang perubahannya kini. Bahkan katanya lagi, mendengar al-Quran sahaja sudah membuat dirinya tenang kerana segala jawapan bagi setiap permasalahannya sebelum ini ada di dalamnya.
Anak kelahiran Batu Pahat,Johor dan dibesarkan di Kuantan, Pahang ini dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Mohamed Danish Hakim, 15, Marissa Dania Hakim, 13, Maria Danisha Hakim, 10, melalui perkahwinan sebelum ini bersama Arbaieyah Abdul Manan atau Abby Abadi.
Kini beliau bergelar suami kepada pelakon, Suhaiza Suhaimi atau Memey Suhaiza, 30. Pasangan bahagia ini dianugerahkan dua putera, Muhammad Darwisz Hakim, 5, Muhammad Dikhriz Hakim, 3, dan bakal menimang cahaya mata ketiga pada Ogos ini.
“Saya tertarik dengan sesi tadabbur dan tazakkur Surah Yassin yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik & Modul Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail pada program Selangor #QuranHour, 16 Mac lalu.
“Saya berasa satu kesegaran dari sudut rohani melalui kupasan ayat al-Quran tersebut yang selama ini kita hanya membaca tanpa memahami. Oleh itu, kita perlu berguru agar memperoleh ilmu dengan lebih jelas dan mudah difahami,” ujar beliau yang kini mempelajari al-Quran dari segi tafsir dan pengertian isi kandungannya.
Pentingkan agama
Bapa kepada lima anak ini berpendapat, rezeki bukan sekadar dari segi wang ringgit, tetapi orang di sekeliling kita yang sama membantu menuju kepada destinasi sebenar iaitu syurga.
Untuk memilih jalan ALLAH, kata Norman, kita jangan remehkan perkara kecil. Contohnya, beliau membiasakan diri untuk berjalan kaki jarak 600 langkah ke surau. Ini menjadikan beliau lebih berenergi dari segi jasmani dan rohani di awal pagi. Beliau mendapat motivasi tersebut dengan mencontohi Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V berjalan kaki 200 meter ke masjid setiap hari. Apa yang paling penting bagi beliau adalah catatan yang boleh dibawa pada hari pertimbangan nanti dan itulah perkara yang dicari dalam kehidupannya sehingga hari ini.
Tanggal 1 April 2018 melakarkan sejarah apabila Norman menganjurkan My Family #QuranHour dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di kediamannya, Ampang. Pogram bertadabbur Surah Luqman yang disampaikan oleh Ustaz Muhamad Sufian Awang dari Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, disertai oleh ahli keluarga, sanak saudara dan 45 pelajar dari Madrasah Tahfiz Darul Hidayah.
“Kebiasaannya, program #QuranHour diadakan di masjid dan institusi pengajian tinggi (IPT). Jadi kita buat kelainan yang boleh menjadi pencetus kepada masyarakat untuk turut sama mengadakan My Family #QuranHour di rumah masing-masing bagi bertadabbur ayat suci al-Quran.
“Saya berpegang kepada prinsip, jika hendak buat baik, jangan bertangguh. Apabila kita hendak buat sesuatu, bayangkan ini kali terakhir kita buat di muka bumi. Oleh itu kita perlu beristiqamah untuk teruskan buat kebaikan yang boleh menjadi catatan bagi menyelamatkan kita di hari pertimbangan,”katanya.
Dalam mendidik keluarga dengan nilai-nilai Islam, Norman mengamalkan solat berjemaah bersama keluarga sejak dalam perkahwinan pertama dan kedua. Inilah sistem keluarga yang beliau buat untuk mendapat keberkatan. Ini permulaan dari keluarga sebelum keluar kepada masyarakat.
“Sebagai ibu bapa, kita perlu menjadi contoh kepada anak-anak. Mereka akan terikut apa yang kita lakukan. Sejak awal, saya suka mengajak keluarga untuk melakukan aktiviti yang melibatkan pusat tahfiz. Anak secara langsung terdedah dengan pergaulan pelajar tahfiz.
“Alhamdulillah, kesemua anak saya belajar dalam bidang agama.Bekas isteri merangkap sahabat baik Abby Abadi turut memainkan peranan besar dalam memberikan sokongan dan pendidikan terbaik untuk anak-anak.
Danish mengikut pengajian hafazan di Mekke Kursu Kuran Isparta,Turki, Marissa Dania di Darul Quran Wal Hadith As Sofa, Seremban, Maria Danisha di Sekolah Rendah Islam Mus’ab Bin Umair (SRIM) manakan Darwisz dan Dikhriz di Children Islamic Centre (CIC).
“Kita mula mendidik dengan agama sejak awal dan pegang hati rohani anak melalui doa. Ia memerlukan kolaborasi keluarga untuk membina jati diri anak,” katanya.
Kasih sayang ALLAH
Tugas Norman dalam mendidik anak digalas bersama isteri tercinta, Memey. Beliau yang kini hamil 5 bulan berkata, jika hidup berpandukan al-Quran, apa jua yang kita lakukan akan lebih teratur. Beliau berusaha untuk melaksanakan apa yang terkandung dalam al-Quran walaupun tidak seratus peratus.
“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan suami yang mementingkan agama sejak awal. Dia menjadi ketua keluarga dan iman yang bagus. Sebagai isteri, saya rasa gembira tidak melakukan usaha mendidik anak secara berseorangan.
“Apabila berkumpul kesemua anak, perbualan mereka berkaitan dengan al-Quran. Mereka suka menguji bacaan dan hafazan. Dua anak yang masih kecil turut terikut cara kakak dan abang yang suka menguji bacaan dan hafazan.”
Pemilik Meylana Boutique ini mengajar dua puteranya, Darwisz dan Dikhriz mengaji setiap kali selepas solat. Beliau turut mengadakan kelas agama, Meylana Usrah di butiknya bersama pelanggan dan orang ramai.
Norman menambah, cabaran sebenarnya untuk menjaga iman dan takwa bukanlah orang luar, tetapi diri sendiri dan nafsu. Inilah cabaran paling hebat. Sampai satu tahap, beliau berasakan tidak peduli kerana apa yang penting adalah meraih perhatian dan kasih sayang ALLAH.
“Bermula dengan diri sendiri, isteri, anak dan keluarga, kini suara hati saya mendorong untuk melibatkan komuniti lebih besar untuk mengajak kebaikan.
“Apabila kita beristiqamah dalam doa, ALLAH akan tunjuk satu persatu. Dari situ, kita akan rasa ALLAH semakin rapat dengan kita. Kita semakin yakin bantuan ALLAH dalam apa jua yang kita lakukan.
“Keyakinan kita bertambah apabila kita berserah kepada ALLAH. Apabila kita jaga hubungan dengan ALLAH, ALLAH jaga hubungan kita dengan makhluknya. Jadi saya terus beristiqamah. Insya-ALLAH,” katanya. – SINAR HARIAN
KOMEN