KOTA BHARU: Semuanya bermula daripada pengalaman sendiri.
Latar belakang keluarga susah, dan melihat sendiri kepayahan ibu meneruskan kelangsungan hidup, kerana tidak ada saluran untuk mengadu.
Kerana itu Ir Meor Shamshir Meor Zulkifli Auni menubuhkan Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan pada 2015, bagi membantu asnaf terdiri daripada ibu tunggal dan fakir miskin.
“Golongan asnaf pun ada fitrah mereka sendiri. Mereka ini ‘special interest group’. Sebagaimana wujudnya kelab golf untuk peminat golf, perlu juga ada kelab khusus untuk asnaf, supaya mereka rasa ‘sense of belonging’,” Meor Shamsir membuka bicara.
Di bawah kelab itu, ada tiga program diwujudkan.
Dapur Jumaat untuk program makan percuma kepada komuniti, Asnaf Catering, perusahaan makanan dikendalikan kumpulan ibu tunggal, dan Kebun Asnaf, program penanaman sayur untuk dijual.
Kesemua program dikendalikan ibu-ibu tunggal dan fakir miskin.
Selain ada pendapatan tetap setiap hari, mereka peroleh kemahiran baru dan keluarga kedua adakalanya sebagai tempat mengadu nasib.
Peserta juga diberi ceramah serta kaunseling setiap Jumaat, platform mereka untuk menambah ilmu agama, dan mengemukakan keperluan masing-masing.
“Syukur, sejak jadi peserta program ini, hidup lebih tersusun, ada pendapatan tetap, kerja pun dekat rumah,” Khorijah Husin, 43 tahun, berkongsi cerita.
Khorijah adalah pencari tunggal rezeki untuk keluarga, sejak suaminya terlantar sakit enam tahun lalu, kerana terlibat dalam kemalangan.
Kalau dulu, kerjanya tidak tetap dua ke tiga kali seminggu mencuci rumah, dengan upah RM20 sehari.
Tetapi kini jadual Khorijah yang bertugas sebagai tukang masak lebih mudah, upahnya tetap dan dia tidak perlu keluar bandar.
Selain Khorijah, ada hampir 700 peserta menerima manfaat daripada program ini.
“Saya rasa gembira, kerana setiap orang ada masalah, tetapi apabila kita bantu, Allah SWT angkat rasa susah dalam hati kita, kerana apabila kita diuji, kita ada macam-macam dugaan, saya rasa ini adalah nikmat terbesar apabila bantu golongan ini,” jelas Meor Shamshir.
Sehingga kini, program keusahawanan sosial yang dijalankan menerusi kelab asnaf ini beroperasi dengan gabungan 90 peratus dana sumbangan awam, dan 10 peratus dana persendirian.
Meor Shamshir juga membangunkan pangkalan data sendiri, dengan bantuan universiti tempatan, bagi membolehkan peserta mempunyai akses kepada bantuan agensi lain.
Tetapi Meor Shamshir akui bukan mudah memastikan kelestarian model perniagaan yang diusahakan ini bertahan kerana beberapa cabaran.
“Kita kena bagi mereka masa. Model keusahawanan ini akan ambil masa khususnya dari segi pelaburan modal. Kita kena ’empty our glass’. Kalau gelas kita penuh, kita akan ‘judge’ mereka, sedangkan kita tidak tahu sejarah mengapa mereka ada masalah,” jelas Meor Shamshir.
Melihat ke hadapan, Meor Shamshir berharap wakil rakyat yang dipilih dapat mengangkat pejuang-pejuang masyarakat seperti peserta program ini diberikan pengiktirafan sejajar dengan usaha yang dilakukan mereka.
Bakal wakil rakyat juga jelas Meor Shamshir perlu memastikan bantuan sama ada dari agensi kerajaan atau pusat diselaraskan ke arah menambah nilai jenama sesebuah pertubuhan atau gerakan yang membantu masyarakat.
Idea dan inovasi keusahawanan sosial yang terbukti berimpak tinggi perlu diangkat menjadi agenda nasional bagi mewujudkan satu suasana saling melengkapi di antara satu sama lain. ASTRO AWANI
KOMEN