BAITULMUQADDIS – Aktres pemenang anugerah Oscar, Natalie Portman membatalkan penyertaan dalam satu majlis di Baitulmuqaddis di mana dia akan menerima hadiah AS$2 juta (RM7.7 juta) dengan alasan terganggu dengan peristiwa yang berlaku di Israel baru-baru ini, kata penganjur.
Dilancarkan pada 2013, Hadiah Genesis itu diberikan kepada individu berbakat luar biasa yang menjadi inspirasi kepada generasi bangsa Yahudi akan datang, demikian menurut laman web organisasi tersebut.
Yayasan Hadiah Genesis itu diberitahu oleh salah seorang wakil Portman bahawa ‘perkembangan di Israel baru-baru ini mengganggu aktres berketurunan Israel-Amerika Syarikat tersebut dan dia berasa tidak selesa menyertai mana-mana acara awam di Israel.
Yayasan berkenaan tidak menyebut peristiwa yang mengganggu Portman tetapi Israel mengundang kritikan antarabangsa berhubung penggunaan peluru hidup bagi menyuraikan penunjuk perasaan semasa protes di sempadan Gaza sejak tiga minggu lalu.
Seramai 35 warga Palestin terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel sejak protes itu bermula pada 30 Mac lalu, demikian menurut Kementerian Kesihatan Gaza. – AFP
KOMEN