KANGAR 21 April – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sejak awal tahun ini dan sehingga kini telah memperuntukkan sebanyak RM4.24 juta sebagai Dermasiswa Pelajar Perlis di Asia Barat.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertuanya bertitah, sumbangan itu bertujuan bagi memberi galakan ke arah peningkatan penghayatan ilmu dan penyediaan golongan pelapis.
Baginda bertitah, bagi para pelajar Perlis di Jordan, sebanyak RM11,000 seorang telah diberikan sumbangan ‘Dermasiswa’ tahunan sebanyak RM6,000 dan tambahan bayaran sekali gus sebanyak RM5,000 seorang.
“Bagi para pelajar Perlis di Mesir pula, jumlah sumbangan itu adalah RM6,000 seorang. Sumbangan ini bergantung kepada pencapaian akademik pelajar yang lulus dan berjaya dalam peperiksaan setiap tahun pengajian,” titah baginda.
Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat meninjau rumah milik Busri Romli, 44, yang menjadi mangsa ribut dalam kejadian pada 14 April lalu dan seterusnya menyampaikan sumbangan MAIPs sebanyak RM4,000 di Kampung Sungai Berembang, Simpang Empat, di sini semalam.
Busri tinggal bersama isteri dan enam orang anaknya.
Tuanku Syed Faizuddin Putra seterusnya bertitah, bagi para pelajar yang mengulang yang terhad kepada kali pertama sahaja, akan diberikan ‘Dermasiswa’ sebanyak RM2,500 seorang.
Terdahulu baginda turut berkenan berangkat menyampaikan sumbangan bantuan bencana MAIPs kepada seramai 51 orang penerima dalam kalangan mangsa ribut tersebut yang keseluruhannya berjumlah RM85,837.
Penyerahan bantuan itu diadakan bersempena Program Hijrah Minda Masjid MAIPs Kali Ke-10 bagi 2018 yang diadakan di Masjid Al-’Ilmi Sungai Berembang.
Baginda diiringi oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Nurulhisham Yaakob dan Ketua Unit Agihan Zakat MAIPs, Syed Aisam Al Habshee. – UTUSAN
KOMEN