Home » Langit Terbuka » Kempen ikut cara Islam

Kempen ikut cara Islam

Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

SHAH ALAM – Susulan pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pastinya tumpuan rakyat tertumpu kepada tarikh pengundian pada PRU14.

Namun begitu, sebelum hari membuang undi ditetapkan, beberapa proses berlaku sebelum itu, antaranya penetapan hari penamaan calon dan penetapan jumlah hari bagi berkempen untuk setiap parti bertanding.

Sebagai calon mewakili sesebuah parti dalam pilihan raya khususnya mereka yang beragama Islam,

terdapat beberapa aspek dan pendekatan yang perlu diikuti semasa berkempen mengikut syariat agama.

Menurut pendakwah, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Islam tidak melarang umatnya untuk berpolitik, malah politik juga adalah sebahagian daripada Islam itu sendiri, tetapi biarlah ia dijalankan dengan pendekatan yang betul.

“Pertama sekali dalam berkempen, mereka yang terlibat tidak boleh membuka aib orang lain dengan menyebarkan fitnah seterusnya menghina mana-mana pihak lain dengan kata-kata yang kesat.

“Wakil parti yang menyertai kempen mestilah berfikiran positif, malah saling hormat menghormati di antara satu sama lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, fasa pilihan raya merupakan suatu langkah dalam memilih pemimpin menepati kriteria yang ditetapkan dalam Islam.

“Oleh sebab itu, pemimpin yang hendak dipilih itu mestilah mempunyai kriteria yang menepati kehendak dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam.

“Pemilihan pemimpin yang dibuat mestilah seorang yang amanah, sihat, berketerampilan, berakhlak, terpelajar, layak memimpin dan sebagainya agar kestabilan negara sentiasa terjamin,” katanya.

Menurutnya, pengundi juga dinasihati agar membuat kajian dan penelitian terhadap calon-calon dan sentiasa berlapang dada dalam semua aspek semasa tempoh berkempen dijalankan.

“Mereka juga haruslah reda dengan apa yang bakal dihadapi setelah pilihan raya diadakan,” katanya. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *