Home » Langit Terbuka » Gema nasyid Hijjaz di kem pelarian

Gema nasyid Hijjaz di kem pelarian

ANGGOTA Hijjaz (dari kiri), Mohd. Faisal Osman, Munif Ahmad dan Isman Nadim Isam di sebuah rumah di kem pelarian Rohingya. - Facebook

SIAPA lagi yang pernah diuji dengan dahsyat sekali jika tidak insan terpuji Rasulullah SAW yang amat kita cintai. Baginda diherdik, dicaci dan dicederakan oleh musuh-musuhnya, lebih daripada itu baginda mengikat perutnya menahan lapar serta memilih untuk hidup susah di sepanjang kehidupan kerana kecintaan kepada Allah SWT.

Sesungguhnya baginda adalah manusia yang paling sabar berbanding nabi dan hamba-hamba Allah yang lain sehingga baginda diangkat menjadi insan terpuji dan paling dikasihi-Nya.

Nasyid tentang ciri-ciri terpuji Rasulullah SAW dan Sifat 20 Allah SWT baru-baru ini bergema di kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh apabila kumpulan nasyid terkenal, Hijjaz mendendangkan beberapa buah lagu nasyid kepada masyarakat pelarian Rohingya.

Rata-rata mereka menerima dan kagum serta bersemangat apabila turut sama menyanyikan lagu yang dipersembah. Memang tidak dapat dinafikan di sepanjang perjalanan kemanusiaan ini, saya dan ahli-ahli rombongan Mapim bersama-sama Hijjaz terdiri daripada Isman Nadim Isam, Mohd. Faisal Osman dan Munif Ahmad – seorang lagi anggota, Muhammad Ariffin Ahmad tidak ikut sama – sentiasa menjadi perhatian pelarian, kami dikejar, dikerumuni dan diberi layanan istimewa oleh mereka.

Adakalanya terasa rimas sehingga sukar untuk menjalankan kerja penggambaran kerana mereka dalam jumlah yang besar tanpa mengira usia akan sentiasa mengikut rapat setiap langkah dan pergerakan. Ada juga yang ingin membantu mengangkat peralatan produksi yang pada akhirnya mereka meminta wang sebagai upah.

TIDAK PERNAH LIHAT CERMIN

Apabila ditunjukkan gambar mereka dalam kamera telefon bimbit mahupun kamera video, mereka sangat seronok seperti gelagat orang yang tidak pernah melihat wajah sendiri.

Saya diberitahu oleh seorang sahabat aktivis agar jangan terkejut jika mereka berkelakuan begitu, kebanyakan mereka sudah lama tidak melihat wajah sendiri ataupun tidak pernah langsung melihat wajah mereka. Bagi kanak-kanak pula, sejak lahir dan dibawa ke Bangladesh, mereka tidak pernah melihat cermin, malah ada yang tak tahu apa itu cermin, terang sahabat saya.

Begitulah dahsyatnya kehidupan pelarian. Tidak hairanlah setiap rumah di kem pelarian yang saya singgah tidak mempunyai cermin. Ia adalah sebahagian daripada kisah kehidupan pelarian yang perlu diinsafi umat Islam di Malaysia. Kita bertuah kerana masih berada dalam keadaan aman, sihat, dikurniakan banyak rezeki oleh Allah SWT.

Selain itu, mereka juga sebenarnya menantikan sesuatu daripada kami, iaitu bantuan dan sumbangan, sama ada wang, makanan dan sebagainya. Itulah realiti bagi kebanyakan masyarakat di sini kerana kedaifan dan kesukaran hidup tinggal di kem pelarian.

Setiap ‘mata’ di sini akan memerhatikan tindak tanduk kita, hinggakan setiap kali memeluk saku seluar, pasti ada yang datang tanpa diduga dan menghulurkan tangan mereka. Mereka ini terdiri daripada kanak-kanak dan ibu yang mendukung bayi. Kadang-kadang saya tidak sampai hati untuk mengeluarkan ‘sumbangan’ dalam bentuk duit, gula-gula, buah, coklat dan sebagainya yang diisi di dalam beg kerana jumlah mereka yang terlalu ramai.

Yang dapat akan gembira, yang tak dapat bakal menangis, lebih teruk mereka akan melaporkannya kepada polis. Terlalu sukar dan sedih apabila mengenangkan situasi ini.

MISKIN SERBA SERBI

Seorang aktivis lain yang enggan namanya disiarkan berbisik kepada saya, “Abdullah jangan terkejut, kebanyakan wanita Rohingya di sini tidak memakai pakaian dalam.

Saya tergamam, “Betulkah Haji? Kenapa?” “Itulah realitinya Abdullah, kebanyakan peralatan kebersihan dalaman yang kami bekalkan seperti pakaian dalam dan tuala wanita terbiar begitu sahaja, kesusahan dan kesukaran hidup tinggal di kem menjadikan mereka begitu. Kekurangan bekalan air, kekurangan tandas, di samping kurangnya pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan mereka, maksudnya mereka miskin serba serbi di sini,” tambah beliau sambil tunduk kesedihan.

Saya menceritakan kisah ini bukan untuk mengaibkan mereka tetapi sekadar berkongsi tentang keadaan hidup sebenar tinggal di kem pelarian dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

Sedih tetapi bersemangat

Berbalik kepada kumpulan Hijjaz dalam misi kemanusiaan ini, ternyata penglibatan mereka sangat bermakna, bukan sahaja kepada masyarakat pelarian tetapi kepada mereka juga.

Menurut Isman Nadim Isam: “Susah, susah, susah, terlalu daif, sangat menyedihkan. Kem ibarat lautan penyeksaan, serba serbi mengharukan saya. Kelaparan, kemiskinan, tiada pelajaran, orang tua, perempuan, kanak-kanak, semuanya berada dalam keadaan menyedihkan.

“Saya terkesan melihat kanak-kanak yang tidak berselipar dan kekurangan vitamin, perut buncit kerana masalah cacing. Saya dan Hijjaz nak berikhtiar mendapatkan dana bagi membeli ubat cacing untuk menolong kanak-kanak Rohingya, saya merayu kepada semua tolonglah, bantulah mereka di sini,” katanya sambil menangis.

Bagi Mohd. Faisal Osman pula: “Hati hiba melihat penderitaan mereka, bagaimanakah nasib mereka untuk menempuh kehidupan mendatang dalam keadaan serba kekurangan? Hati saya akan sentiasa bersama mereka, kita ada ikatan persaudaraan sebagai saudara seagama. Insya-Allah saya akan datang lagi untuk membantu mereka, saya berdoa agar mereka tabah melalui fasa getir ini.”

Sementara itu Munif Ahmad yang diperhatikan begitu tenang sepanjang berada di kem, berkata: “Semoga pelarian ini terus tabah di sebalik ujian yang menimpa. Memanglah sedih melihatkan penderitaan mereka tinggal di kem pelarian yang serba kekurangan dan daif. Saya yakin Allah akan membalas penderitaan mereka dengan sebaiknya sesuai dengan sifat-sifat Allah yang Maha Mengetahui, Maha Adil dan Maha Mengasihani.

“Saya berharap masyarakat Malaysia dapat bersama-sama Hijjaz khususnya dalam meringankan penderitaan pelarian.”

Sementara itu, Setiausaha Agung Mapim, Zulhanis Zainol berkata, penyertaan Hijjaz sangat bermakna dalam perjuangan kemanusiaan bersama Mapim, mereka bukan sahaja menjadi ikon dalam negara kita tetapi juga kepada masyarakat pelarian, nyanyian dan kata-kata semangat yang diberikan mereka telah menghibur dan memberi harapan baharu agar terus tabah serta kuat menghadapi ujian menjadi pelarian.

Usaha kemanusiaan adalah tanggungjawab semua ahli masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka sesuai dengan kebolehan dan kemampuan masing-masing. Dalam hal ini, Hijjaz sebagai penghibur yang berdakwah dengan lagu telah menunjukkan teladan yang baik.

Bagi yang ingin menyumbang boleh salurkan bantuan kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Mapim (RHB: 2142 5760 0213 72). UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *