Oleh AMIDA ABDULHAMID
Dr Amida Abdulhamid adalah seorang penulis dan penilai buku yang berpengalaman. Nama pena beliau adalah Anis
Mata kasar kita sering menyaksikan kejayaan dan kegagalan dalam hidup. Apabila hajat hati dan kehendak rasa terpenuhi, kita berasa nikmat yang amat sangat. Dunia bagaikan syurga bagi kita. Gelak ketawa mengisi tiap rongga kehidupan.
Di sebaliknya, apabila yang diharapkan tidak tercapai, yang diusahakan punah dan lebur, kita menderita amat sangat. Dunia bagaikan neraka, orang sekeliling tidak membawa erti positif dan kita bagaikan berputus asa.
Kegembiraan yang kita alami apabila tercapai cita-cita: lulus peperiksaan dengan cemerlang; mendapat pekerjaan yang baik; berkemampuan membeli kenderaan yang diidamkan; berjaya menjual produk yang diperdagangkan adalah pengalaman yang manis.
Setelah sekian lama bertungkus lumus belajar dan bertelaah, akhirnya keputusan peperiksaan memuaskan. Betapa kegembiraan menghiasi relung-relung kehidupan setelah berjerih bergulat dengan fakta dan formula. Bahagianya hidup ketika itu.
Namun, ada di antara kita yang tidak bernasib baik. Setelah berjuang dengan buku pelajaran, setelah mengorbankan waktu tidur untuk menyerap ilmu dan maklumat, setelah mengundur diri daripada majlis pesta-pestaan bersama sahabat sebaya, tetapi keputusan peperiksaan amat mendukacitakan. Maka air mata berjuraian dan kehampaan melimpahi hati yang parah.
Kekecewaan amat mendera perasaan. Dunia yang indah, cantik dan permai, secara magis, bertukar menjadi gelap dan tidak bermaya. Ada yang menarik diri dari keindahan pelangi. Ada yang membawa diri. Dan yang paling teruk ialah apabila ada yang cuba membunuh diri: terjun dari bangunan tinggi, kerana tidak mampu menangani kegagalan.
Kejayaan dan kedukacitaan adalah lumrah dalam kehidupan: tidak dapat dielakkan hal demikian terjadi. Namun, jika kita sudah mengenali Allah dan sifat-Nya, kegagalan itu tidak akan memporak-perandakan diri dan hidup kita.
Sembilan puluh sembilan nama Allah yang kita lafazkan dalam Asmaul Husna merangkumi segala kuasa Allah. Bahawa Allah itu Al-Wali Pemerintah, Allah itu Al-Muhyi Pemberi Kehidupan, Allah itu Al-’Alim Maha Mengetahui, Allah itu Al-Muqit Penjaga, Allah itu Al-Khabir Maha Mengetahui apa yang telah berlaku, apa yang sedang berlaku, dan apa yang bakal berlaku.
Hebatnya kekuasaan kapasiti Mengetahui Allah sehingga… “Tidak sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahui-Nya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak pula sesuatu yang basah atau yang kering, yang tidak tertulis dalam kitab yang Nyata (Luh Mahfuz)…” (Al-An’am: 59)
Allah Pencipta alam ini telah mengatur perjalanan alam semesta serinci-rincinya. Setiap hembusan bayu, setiap tetesan hujan yang menerjah bumi, setiap percambahan tunas, setiap pertukaran saat dan minit telah diprogramkan-Nya dengan teliti mengikut kehendak-Nya.
Ayat kedua surah Al-An’am memafhumkan bahawa, “ Dialah yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian Dia menetapkan ajal (kematianmu), dan tempoh waktu tertentu yang hanya diketahui oleh-Nya…”
Ajal kematian kita tidak dapat kita tentukan. Ada orang mahu mati di Mekah atau di Madinah, ada orang mahu mati di kampung halaman, ada orang mahu mati di tempat-tempat tertentu mengikut pilihannya. Adakah kita punya pilihan untuk berbuat demikian?
Lihatlah pahlawan Islam Khaalid ibn Al-Walid yang menjadi seteru orang Islam pada Perang Uhud dan kemudian merupakan pahlawan Islam pada peperangan lainnya. Boleh dikatakan seluruh hidupnya menunggang kuda dengan pedang terhunus menentang musuh Islam. Inilah tragedi hidup Khaalid Al-Walid: bahawa dia tidak mati di medan perang, dia mati di atas pembaringannya. Sebagai pahlawan yang menundukkan empayar Rom dan Parsi dan juga Iraq, sudah barang tentu dia mengimpikan mati syahid, mati di medan peperangan.
Allah SWT menentukan bahawa pahlawan Islam ini matinya di atas katil. Demikian kehendak Allah.
Mengapa Menangis?
Kita akur bahawa Allah Maha Pencipta, bagi Allah kerajaan di langit dan di bumi. Namun seringkali kita lupa bahawa kehidupan kita: kejayaan, kegagalan, kemampuan, kemakmuran, kekurangan kita telah ditentukan-Nya. Segalanya termaktub di Luh Mahfuz. Kita tidak tahu apa yang ditentukan buat kita. Yang penting kita jalani hidup, kita redah onak dan duri, kita tangani halangan yang merintang, berusaha semaksimum mungkin untuk mencapai kejayaan.
Inilah faktor yang wajar kita hayati dan fahami bahawa usia kita, ajal kita, rezeki kita, jodoh kita sudah ditentukan-Nya dan semua itu tersimpan rapi di Luh Mahfuz.
Maka itu mengapa harus menangis jika hajat tidak kesampaian? Setelah bertahun menjalin kasih dengan si dia, menganyam janji manis membina masa depan, kemudian sedihnya dia memungkiri janji dan mengahwini orang lain, mengapa harus menangis air mata darah?
Benar, tidak dinafikan kita ada perasaan. Apabila cinta terputus, akan menyebabkan kalbu sebak dan perasaan kekecewaan menakluki diri. Kita berasa kecewa, tetapi cuba kita bertenang setelah menangis beberapa hari dan mula berfikir dengan waras.
Kita tidak dijodohkan dengan dia kerana demikian itu telah ditetapkan Allah. Tidak wujud ruang untuk perdebatan. Kita mesti belajar menerima ketetapan Allah. Dan kesatlah air mata itu, untuk mendepani hari-hari yang mencabar. Mungkin Allah ada sesuatu yang lebih baik untuk kita.
Apabila kita yakin dengan ketentuan Allah dan bersedia menerima apa jua program yang telah diaturkan-Nya untuk kita, maka hidup kita akan menjadi lebih harmoni. Apabila impian kita menjadi kenyataan, kita ucapkan Alhamdulillah. Dan apabila musibah menimpa: tayar kereta pancit di lebuh raya, rumah dinaiki banjir, sawah padi kekontangan, pokok-pokok bunga kering dan reput di pasu, kitab dan buku dimakan anai-anai, maka tidak perlu berkeluh kesah tidak menentu. Memadailah sekadar mengucap Innalillahi wa inna ilaihi rojiuun. Sesungguhnya kita rasa kecewa, itu tidak dapat dielakkan, tetapi segala yang terjadi itu kehendak Allah. Sudah pasti ada hikmah di sebalik musibah yang menimpa.
Berlapang dadalah!
Didik dan ajarlah diri kita untuk menerima ketetapan Allah SWT. Apabila dikurniakan yang baik, banyakkanlah bersyukur, dan apabila musibah melanda, teruskan mendirikan solat dan berdoa memohon bantuan-Nya.
Setiap hari, kita berdepan dengan sesuatu yang tidak kita ketahui. Kita akan berjumpa ketua baharu, teman baharu, suasana baharu. Ada kalanya terasa berdebar-debar untuk berhadapan dengan seseorang. Jika dia lebih superior dari segi pangkat, jawatan, kemampuan, maka perasaan kecut perut tidak dapat dihindari. Tangan terasa dingin, mulut kaku untuk berkata.
Perasaan demikian bukanlah sesuatu yang aneh. Kita berasa amat kecil berdepan dengan mereka yang berjawatan tinggi, berpangkat dan berkemampuan. Bentuklah sikap memahami bahawa kita manusia semuanya sama; yang membezakan kita adalah ketakwaan kita. Bukankah Allah SWT telah berfirman, “ Janganlah kamu takut kepada manusia, tetapi takutlah kepada Aku…” (Al-Maidah: 44)
Maka itu boleh dibuang jauh rasa bimbang dan ragu yang tidak berasas. Kita pupuk diri supaya berlapang dada menerima sesiapa sahaja seadanya. Yang wajar kita takuti ialah Allah SWT yang mencipta kita dan Dia yang akan menghisabkan segala yang telah kita lakukan.
Dalam apa jua situasi, kita lakukan apa yang patut untuk melestarikan kehidupan. Usaha wajar dilipatgandakan. Dan hasil usaha itu kita serahkan kepada Allah SWT. Apa jua yang diperuntukkan buat kita, kita terima dengan reda kerana itulah bahagian hidup kita. Status kita sebagai hamba Allah hanya menyerah diri kepada-Nya. Dengan berbuat demikian, kita tidak diganggu perasaan kecewa dan hampa yang mengancam ketenteraman hidup. – MAJALAH DAKWAH
KOMEN