Susunan LUTH AL-FAHIM
Wahai ibu bapa yang diamanahkan dengan anak-anak…
“Untuk apa kita mempunyai anak?”
Kita sayangi mereka sejak dari alam rahim, kita limpahkan mereka dengan kasih sayang, kita bekalkan mereka dengan pendidikan setingginya, kita menghantar mereka ke sekolah dengan harapan mereka akan berjaya. Namun, setinggi manapun ilmu yang dimiliki tetapi hati dan jiwanya kosong dan gersang dengan sentuhan iman, justeru untuk apa semuanya?
Ternyata ilmu keduniaan sahaja tidak mencukupi jika mereka tidak sentiasa diperingatkan mengenai tanggungjawab di dunia ini. Jika kita menyangka bahawa anak yang dianugerahkan kepada kita sekadar untuk menjadi pelengkap atau penyeri kepada rumah tangga kita, maka di situlah letaknya kesilapan kita. Kita sebenarnya cuma mempersiapkan mereka untuk menjadi bahan bakar di dalam neraka.
Cuba kita bayangkan…anak yang semasa kecilnya sangat comel, keletahnya mencuit hati dan menjadi permata hati keluarga. Dididik dengan ilmu dunia dengan baik sekali bahkan di sekolah, prestasi pelajarannya terus cemerlang dan membanggakan. Namun, hari demi hari, anak kecil telah menginjak remaja, keadaan secara perlahan-lahan mula berubah. Dia mula menunjukkan belangnya yang asing tidak pernah kita lihat sebelum ini; mula menunjukkan sikap buruk, tidak lagi menghormati ibu bapanya, tidak mahu mendengar kata apatah lagi nasihat orang tua. Pendek kata, sifat dan kehidupan sang anak sudah jauh menyimpang dari nilai-nilai agama.
Belaian kasih sayang, pendidikan dan galakkan yang diberikan ibu bapanya selama ini ternyata sia-sia. Perlakuan sang anak menunjukkan kegagalan ibu bapanya. Maka benarlah, mereka telah berjaya mempersiapkan bahan api neraka.
Perintah Tegas Dari Allah SWT
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)…” (al-Tahrim: 6)
Tentang ayat ini, Kitab Tafsir Ath-Thabari, Qatadah berkata: “Perintahkan mereka untuk taat kepada Allah SWT dan laranglah mereka dari perbuatan maksiat kepada-Nya. Bantulah mereka untuk mengerjakan perintah Allah. Apabila kamu melihat mereka melakukan kemaksiatan, maka tegurlah!”
Ibnu Jarir berkata: “Kita wajib untuk mengajarkan anak-anak kita tentang agama Islam, kebaikan dan adab!”
Dan Ibnu Umar berkata: “Didiklah anakmu, kerana kelak kamu akan ditanya tentang pendidikan dan pengajaran seperti apa yang telah kamu berikan kepada anakmu. Anakmu juga akan ditanya tentang bagaimana dia berbakti dan berlaku taat kepadamu.”
Dari penjelasan para mufassir tersebut, ayat dari Surah al-Tahrim ayat keenam ini merupakan suatu perintah yang tegas daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya supaya menjaga keluarganya dari seksaan api neraka dengan cara membekalkan anak-anak dengan ilmu agama selain selalu memerhatikan kelakuan dan tindak-tanduk anak-anak.
Anak-anak Adalah Amanah
Wahai ibu bapa yang diamanahkan dengan anak-anak…
Anak adalah anugerah dan amanah Allah SWT kepada semua yang bergelar ibu bapa. Mereka ibarat kain yang putih yang bersih lagi suci. Kecantikan dan keindahan kain itu bergantung kepada ibu bapa sendiri untuk mencorakkannya. Menjadi ibu bapa bukanlah satu tugas yang mudah. Mungkin kerana itu Allah SWT tidak mengurniakan keistimewaan memiliki anak kepada setiap pasangan. Mungkin juga mereka tidak mampu menanggung ujian sebagai ibu bapa kelak kerana Allah tidak sekali-kali membebani hamba-hamba-Nya dengan sesuatu ujian luar dari kemampuannya (al-Baqarah:286).
Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membentuk anak-anak dengan budi pekerti yang mulia berlandaskan syariat Islam. Pembentukan itu pula haruslah dilakukan ketika mereka masih di dalam kandungan ibu lagi. Wahai ibu bapa yang diamanahkan dengan anak-anak, marilah jadikan kisah ini sebagai teladan demi memastikan anak-anak dan keturunan kita tidak menjadi bahan bakar api neraka.
Mungkin ada yang pernah mendengar kisah tentang seorang tua yang sedang melalui perhitungan amalan dan amalan kebaikannya ternyata lebih berat daripada amal kejahatannya. Ketika dia sedang bergembira menuju ke syurga, tiba-tiba dia telah dipanggil balik oleh malaikat. Malaikat kemudiannya menyatakan bahawa tempatnya bukanlah di syurga tetapi di neraka.
Malaikat menjelaskan bahawa ketika sedang dihitung amalan anaknya, ternyata amalan kemungkaran lebih berat daripada amalan baik. Ketika diperdengarkan keputusannya, anaknya menyatakan bahawa punca semua ini adalah kerana kegagalan sang ayah dalam memberi didikan agama sewaktu hidupnya kerana sibuk dengan urusan sendiri.
Pemimpin Keluarga
Wahai ibu bapa yang diamanahkan dengan anak-anak…
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya.” (HR Bukhari dan Muslim)
Apabila ibu bapa menjalankan tanggungjawab dan amanah menjaga serta mendidik anak dengan ilmu aagama yang mencukupi sehingga anak-anak menjadi anak yang soleh, maka tidak hairanlah sekiranya pengakhirannya juga berakhir ke syurga. Namun, jika ibu bapa gagal menjalankan tanggungjawab dan amanah mereka dalam mendidik anak-anak kerana kelalaian mereka, maka berhati-hatilah kerana anak-anak mungkin menjadi pembatal kita ke syurga!
Nauzibullah…Semoga kita tergolong dalam kalangan ibu bapa mithali yang berjaya memimpin keluarga menuju syurgawi. Amin. – MAJALAH DAKWAH
KOMEN