Susunan WARTAWAN DAKWAH
Remaja sering dilihat sebagai ‘kelompok pemberontak’. Mereka juga digambarkan sebagai kelompok yang sering membuat keputusan dengan terburu-buru, selain gemar mengambil mudah semua aspek perkara yang berkaitan dengan diri dan kebebasan mereka. Orang dewasa sering sahaja ‘pening kepala’ untuk menangani golongan remaja ini terutamanya remaja yang sememangnya bermasalah.
Golongan remaja sering terdorong mengikut kata hati muda mereka. Kenakalan remaja, seks bebas dan bermacam masalah lainnya semakin hari semakin merebak. Itu tidak dapat dinafikan. Sering menjadi persoalan adalah bagaimana mereka boleh menjadi harapan bangsa jika mereka sudah menjadi ‘sampah masyarakat’ terlebih dahulu.
Golongan remaja ini juga sering dipersalahkan. Remaja yang dipersalahkan ini kemudiannya bertindak seperti yang dilabelkan kepada mereka akibat didorong rasa kecewa. Mungkin bagi mereka, sudah dilabelkan sebagai begitu dan begini, lebih baik mengiyakan sahaja dengan melakukan perlakuan yang dilabelkan tadi!
Dalam pengertian yang sama, kumpulan manusia dewasa sudah sinonim dan selesa melihat remaja sebagai pemberontak muda yang menyusahkan, malangnya, remaja juga seolah ‘selesa’ memperlakukan perilaku yang dilabelkan bagi mengiakan ‘doa’ kumpulan dewasa itu.
Pendekatan yang diambil kumpulan dewasa dengan menyalahi golongan remaja ini sebenarnya adalah salah satu metode kumpulan dewasa menyembunyikan ‘kekurangan’ dan ‘ketidakmatangan’ mereka dalam menyelesaikan masalah yang lebih kompleks merangkumi masalah kesemasaan mereka. Psikologi juga telah memperlihatkan bahawa seseorang yang bersalah berkecenderungan menyalahkan orang lain bagi menutup kelemahan diri mereka sendiri.
Menerusi pendekatan menghentam dan menyalahi ini, mereka berharap kesalahannya akan terlindung dan tidak kelihatan kerana mereka percaya bahawa dengan perlakuan sedemikian, masyarakat akan memberikan perhatian kepada kesalahan orang lain. Kumpulan yang mengaku dewasa dan matang ini tidak seharusnya terus-menerus mencari dan menyalahkan golongan remaja dalam segenap hal berkaitan berkait dengan kebejatan sosial yang berlaku.
Perlakuan salah-menyalahkan ini secara tidak langsung memperlihatkan remaja daripada kaca mata golongan dewasa hanya sebagai beban dan bukannya aset bagi negara. Di sinilah peranan ilmu pengetahuan sebagai ‘pendamai’ yang bersifat sebagai orang tengah dalam menangani kekusutan. Ilmu pengetahuan bertindak bagi mendidik bukan sahaja golongan remaja malahan kelompok dewasa.
Ilmu pengetahuan yang berperanan mendidik ini pula bukan bermaksud sekadar memenuhi otak dengan segala macam ilmu yang belum diketahui, tetapi ilmu yang bermaksud mendidik akhlak dan jiwa mereka. Al-Ghazali pernah berkata: “Tujuan pendidikan ialah mendekatkan diri kepada Allah. Tujuan mempelajari segala ilmu pada masa kini adalah untuk kesempurnaan dan keutamaan jiwanya”.
Imam Al-Ghazali ada berpesan kepada muridnya: “Wahai anak! Ilmu yang tidak disertakan dengan amal dinamakan gila, sebaliknya amal tanpa menggunakan ilmu akan menjadi sia-sia. Ilmu semata-mata pasti tidak akan menjauhkan maksiat di dunia ini, tidak akan membawa kepada ketaatan dan di akhirat kelak ia tidak akan memelihara kamu atau menghindarkan kamu daripada neraka jahanam.”
Imam Ghazali menjelaskan bahawa proses pendidikan (merujuk kepada soal mendidik akidah) terbahagi kepada empat tahap:
- Mestilah dimulai dengan hafaz.
- Kemudian diikuti dengan proses memahaminya iaitu dengan dibentuk kefahaman menerusi cara mendedahkan pengertian isi kandungan akidah tersebut sedikit demi sedikit.
- Setelah itu diiktikadkan dengan penuh kepercayaan.
- Ditasdiqkan (dibenarkan) dengan penuh keyakinan.
Menerusi saranan-saranan di atas, Imam Ghazali melihat ilmu persis siraman air serta taburan baja untuk menumbuh dan menyuburkan ‘biji benih’ yang sudah sedia disemai (Prof. Zakaria Stapa: Cabaran Terhadap Umat Islam, Khususnya Golongan Remaja Pada Abad Ke-21, Jurnal YADIM: p182, 2001).
Pelaksanaan saranan tersebut dilihat akan menjadi landasan dan asas kepada pertambahan kemantapan dan pengukuhan pegangan akidah dalam diri manusia. Imam Al-Ghazali meyakini bahawa daripada pembacaan al-Quran serta hadis secara berterusan bersama dengan tafsiran dan kefahaman yang jelas akan menyumbang ke arah kukuhnya iktikad dan tasdiq dalam diri (Ibid).
Hadis Rasulullah SAW menjelaskan bahawasanya: “Sesiapa yang merintis jalan ke arah pencarian ilmu, Allah mempermudahkannya jalan ke syurga. Malaikat sesungguhnya melabuhkan sayapnya tanda setuju dengan apa yang dilakukan oleh penuntut ilmu. Kelebihan orang yang berilmu dalam bandingan dengan hamba Allah yang biasa adalah bagaikan kelebihan bulan dengan bandingan semua bintang. Para ulama itu sesungguhnya pewaris para nabi. Para nabi sesungguhnya tidak mewarisi dinar atau darham, mereka sesungguhnya mewariskan ilmu, maka itu sesiapa yang mengambilnya, memaknakan dia memperoleh habuan yang sempurna.” (HR Al-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Ilmu pengetahuan tidak terikat kepada golongan remaja sahaja kerana mempelajari ilmu pengetahuan itu adalah suatu proses yang berterusan. Justeru, soal mendidik dan dididik juga menggunakan teori yang sama. Merujuk kepada persoalan pokok perbincangan ini, masing-masing iaitu golongan remaja dan juga kelompok dewasa wajar ‘disirami’ dengan ilmu pengetahuan agar tiada lagi ‘pendekatan hentam, tuduh dan mengiyakan’ yang dipraktikkan selama ini.
Seharusnya kedua-dua pihak memperakui keistimewaan dan kebolehan masing-masing kerana keduanya berperanan lengkap-melengkapi antara satu dengan yang lain. Muda tidak bererti tidak mengerti apa-apa manakala tua tidak bererti cukup ilmu di dada.
Perlu diingat, sememangnya pelbagai masalah senantiasa menimpa dan ia begitu kompleks dan beragam. Ia akan terus berulang dari generasi ke generasi dari satu tampuk pemerintahan ke tampuk pemerintahan seterusnya. Itu adalah suatu yang normal. Masalah yang berulang ini selalunya menarik untuk dibahaskan. Bagaimanapun, perbahasan ini pula haruslah bertunjangkan ilmu pengetahuan yang tuntas bukannya mengikutkan kata hati sahaja.
Renungkanlah…
“Ketika suatu negara tidak memiliki generasi muda yang berkualiti, tunggulah kehancurannya.” Nasib dan masa depan bangsa berada di tangan mereka. Menyelamatkan generasi muda bererti menyelamatkan masa depan bangsa. Menyelamatkan remaja juga bererti menyelamatkan bangsa daripada punahnya peradaban bangsa. – MAJALAH DAKWAH
KOMEN