Home » Langit Terbuka » Filipina akan tingkatkan industri halal

Filipina akan tingkatkan industri halal

Abdulgani Macatoman

KUALA LUMPUR: Filipina, di bawah Presiden Rodrigo Duterte, berusaha mengembangkan industri halal di negara berkenaan bagi menarik pelancong Islam juga untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada masyarakat Islam dan bukan Islam.

Penolong Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina, Abdulgani Macatoman, berkata pembangunan industri halal di di negara itu melangkah setapak lagi melalui penyusunan Undang-Undang Halal, baru-baru ini, membabitkan 10 agensi yang diterajui jabatannya untuk membangunkannya.

“Jumlah masyarakat Islam di Filipina adalah 11 juta atau 10 peratus daripada jumlah penduduk.

“Kami mengeksport US$800 juta (US$1 = RM3.86) produk halal ke kebanyakan negara ASEAN dan Arab. Kami menjangkakan peningkatan dalam industri ini di Filipina, terutama dengan bahagian mengenai Undang-Undang Halal berkenaan,” katanya kepada Bernama ketika mengadakan lawatan ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Bernama, di sini, hari ini.

Abdulgani mengetuai delegasi 100 peserta dari Filipina ke Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2018

Beliau menghabiskan masa kira-kira 30 minit mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang, mengenai pembangunan industri halal di Filipina serta pelbagai isu.

Abdulgani berkata, sejak Duterte mengambil alih kepemimpinan negara berkenaan, presiden yang agak lantang itu memberi penekanan kepada pembangunan industri halal.

“Presiden kami, secara peribadi, amat mengambil berat berhubung pembangunan industri halal dan memulakannya di bandarnya sendiri, Davao City,” katanya

Katanya, Davao City adalah ibu negeri Mindanao, kerajaan tempatan pertama yang menubuhkan Majlis Bandar Raya Halal dan disasarkan untuk menjadi hab halal kepada Filipina.

“Kita dapat melihat dengan jelas pertumbuhan yang ketara industri halal di Filipina (selepas Duterte menjadi Presiden),” katanya.

Abdulgani berkata, sebagai sebuah negara di mana pelancongan memainkan peranan besar kepada ekonomi, industri halal dilihat sebagai penting kepada Filipina bagi menarik 145 juta pelancong Islam dari negara-negara Arab juga dari rantau ASEAN.

Katanya, Filipina juga sedang membangunkan rantaian bekalan halalnya bagi memastikan produk berkenaan, bermula dari ladang sehingga kepada pengguna, memenuhi standard halal.

“Ini termasuk logistik, penyimpanan dan makanan haiwan. Kategori yang berlainan ini dapat menghasilkan banyak peluang dan ia adalah satu bidang perniagaan yang sangat besar kepada kami,” katanya.

Katanya, negara berkenaan juga sudah menandatangani pelbagai perjanjian dengan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina selain Forum Akreditasi Halal Antarabangsa bagi mengukuhkan komitmennya terhadap industri halal.

Abdulgani berkata, walaupun halal dikaitkan dengan masyarakat Islam, terdapat juga permintaan daripada kalangan bukan Islam berikutan peningkatan kesedaran terhadap isu kebersihan, barangan berkualiti juga standard tinggi syarat halal.

“Masyarakat bukan Islam juga sudah mula membeli produk halal seperti dalam kalangan mereka yang mementingkan kesihatan juga kalangan mereka yang vegetarian. Mereka menghargai produk halal bukan sahaja di Filipina tetapi juga di seluruh dunia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, bercakap mengenai penyertaan negara itu dalam MIHAS 2018, Abdulgani berkata, Filipina ingin mempromosikan kerjasama perniagaan antara negara berkenaan dengan Malaysia melalui pameran berkenaan.

“Kami sedang mencari pembeli, pembekal dan rakan berpotensi di Malaysia,” katanya.

Tahun lalu, hubungan perdagangan dua hala Malaysia dan Filipina meningkat sebanyak 26.1 peratus kepada RM25.51 bilion berbanding RM20.23 bilion pada 2016.

Eksport berkembang sebanyak 21.2 peratus tahun ke tahun kepada RM16.53 bilion sementara import berkembang sebanyak 36.1 peratus tahun ke tahun kepada RM8.98 bilion. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *