KUALA LUMPUR: Jumlah penduduk Islam di seluruh dunia yang semakin bertambah membuka peluang besar kepada ekonomi Islam mengkomersialkan produk halal ke peringkat global.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah pada masa ini terdapat kira-kira 1.84 bilion penduduk Islam di seluruh dunia dan pada 2023, populasi itu dijangka meningkat sehingga 2.2 bilion.
“Pada ketika ini, pertumbuhan ekonomi halal global begitu memberangsangkan. Ia mencatatkan nilai kira-kira AS$2.3 trilion (RM8.9 trilion) pada 2012 dan sektor berkenaan dijangka akan meningkat tiga kali ganda sehingga AS$6.4 trilion (RM24.7 trilion) pada tahun ini.
“Meskipun produk halal mungkin sering dikaitkan dengan makanan dan minuman, namun ia juga merangkumi pelbagai produk serta perkhidmatan lain yang boleh ditawarkan termasuk penjagaan kesihatan dan farmaseutikal; penjagaan diri dan kosmetik; pelancongan serta perkhidmatan kewangan,” titahnya ketika menyampaikan ucap tama di Persidangan Halal Sedunia 2018, di sini, hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, pasaran halal bukan sahaja berkembang maju di negara majoriti Islam malahan juga di kalangan majoriti bukan Islam seperti China, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) .
“Justeru, lebih banyak syarikat yang akan memenuhi pasaran Islam dengan menghasilkan produk makanan halal,” titah baginda.
Baginda turut bertitah, industri halal tempatan juga perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Ke-4 (Industri 4.0) untuk terus kekal berdaya saing bukan hanya di peringkat domestik, malah di peringkat global.
“Penyesuaian itu tidak dapat dielakkan dan bukan pilihan kerana ia memberi banyak manfaat kepada perkembangan industri. Antara cabaran dalam mengantarabangsakan industri halal ialah berdepan dengan Industri 4.0. Kemajuan teknologi yang semakin pesat kini turut mengubah kepada keadaan ekonomi dan pekerjaan, malah ketamadunan itu sendiri,” titahnya.
Sultan Nazrin bertitah, revolusi perindustrian yang sebelum ini telah menunjukkan jika syarikat dan industri tidak mampu menyesuaikan dengan teknologi baharu, mereka mungkin menghadapi kesukaran atau terus gagal.
“Beta percaya inovasi teknologi hari ini berpotensi mengukuh dan menambah baik bukan hanya pada ekonomi tetapi juga dunia secara keseluruhan.
“Industri 4.0 menjanjikan peningkatan taraf hidup, keselamatan dan kapasiti tenaga kerja. Justeru, industri halal perlu turut serta memanfaatkan teknologi untuk terus kekal berkembang ke peringkat global,” titahnya.
Selain itu, baginda juga bertitah, industri kewangan Islam turut menyasar untuk mengukuhkan pertumbuhan inklusif selain menyokong kehidupan serta aspirasi kemanusiaan sedunia.
“Pada masa ini, lebih AS$260 bilion (RM1 trilion) dilaburkan dalam dana Islamik di lebih 300 institusi Islamik global yang aktif dan menjelang 2020 sektor berkenaan dijangka berkembang lebih AS$6.7 trilion (RM25.9 trilion),” titah baginda.
Pada masa sama, Sultan Nazrin bertitah, Malaysia juga boleh berkongsi kejayaan dalam menarik lebih banyak penggiat industri halal di peringkat global untuk menerbitkan sukuk.
“Ini kerana pada 2016, Malaysia berjaya merekodkan penerbitan sukuk tertinggi sebanyak AS$47.3 bilion (RM182.8 bilion) yang mewakili penguasaan pasaran tempatan 63.2 peratus,” katanya. – BERITA HARIAN
KOMEN