KUALA LUMPUR Sebagai usaha mendekatkan golongan gelandangan dengan ilmu agama, seorang sukarelawan, Nor Akmar Ali, mengambil inisiatif menubuhkan sebuah pusat mengaji al-Quran dinamakan alFurqan, yang terletak di bangunan Buku Jalanan, di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Aktiviti yang berlangsung setiap Jumaat selama 45 minit hingga satu jam, nyata berbaloi kerana semakin ramai remaja dan gelandangan yang mengikuti kelas berkenaan.
Biarpun pada awalnya, dia perlu mengumpan terlebih dahulu golongan ini dengan makanan dan pemberian token yang kecil, agar mereka bersedia datang menghadiri kelas berkenaan, lama-kelamaan kebanyakannya datang secara sukarela dengan rasa gembira untuk belajar mengaji.
“Ada dalam kalangan mereka yang rasa terharu kerana sekarang sudah boleh membaca Al-Fatihah dan mengenal huruf jawi serta boleh membaca mukaddam,” jelasnya.
Menurut Nor Akmar, buat masa ini kelas tersebut dikendalikan oleh rakan-rakan mereka yang tahu mengaji al-Quran kerana masih belum mampu untuk mengupah ustaz untuk menjadi tenaga pengajar.
Justeru dia memohon sekiranya ada ustaz atau mereka yang berpendidikan agama yang sudi dan berkelapangan bukan sahaja untuk mengajar mengaji, bahkan fadhu ain dan ceramah agama.
Selain itu, menurut Nor Akmar, pihaknya turut memerlukan dana daripada orang ramai untuk menampung keperluan golongan ini ketika mengaji di sini. Nor Akmar boleh dihubungi di talian 017-3885161. – UTUSAN MALAYSIA
KOMEN