LONDON: Pihak polis meminta penduduk beragama Islam supaya tidak terpengaruh dengan penyebaran ‘surat layang’ mengenai ‘hari menghukum penganut Islam’ yang dikatakan bakal berlaku minggu ini.
Sebalik, mereka dinasihatkan supaya terus menjalankan kegiatan harian mereka seperti biasa dan bersatu ketika berhadapan dengan ancaman berkenaan.
Menurut laman web Evening Standard, polis dilaporkan berkata, setakat ini, mereka tidak menerima sebarang maklumat mengenai cubaan berlakunya jenayah kebencian itu, tetapi pihaknya sentiasa berjaga-jaga berhubung ancaman terbabit.
Mereka berkata demikian bagi memberi jaminan kepada masyarakat Islam mengenai insiden yang dilaporkan bakal berlangsung hari ini, selepas 3 April dipilih sebagai sambutan hari kebangsaan keganasan terhadap penduduk Islam.
Ancaman itu disebarkan menerusi iklan ‘berniat jahat’ yang disebarkan di sini dan bandar-bandar lain di United Kingdom.
Berikutan itu, penduduk di seluruh United Kingdom merancang untuk melancarkan program khas bagi menangani mesej berniat jahat yang disebarkan menerusi surat berkenaan.
Sementara itu, pengarah Tell Mama, Iman Atta, memberitahu Evening Standard: “Melihatkan tahap ketakutan yang menyelubungi masyarakat Islam, kami akan berusaha untuk memastikan bagaimana seluruh masyarakat dapat menyokong antara satu sama lain jika sesuatu berlaku pada hari itu (3 April).”
Tell Mama, ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan memantau segala aktiviti anti penganut Islam.
“Kami sudah mengedarkan tips keselamatan di buletin keselamatan di pangkalan data milik kami, selain menerusi pasukan polis.
“Jadi, kami menasihatkan orang ramai supaya meneruskan aktiviti harian dan tidak mempercayai mesej yang disebarkan menerusi WhatsApp tetapi sentiasa berhati-hati dan jika melihat sesuatu yang mencurigakan, sila laporkan kepada pihak polis dan Tell Mama,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai mula memuat naik mesej di Twitter bagi menyatakan sokongan kepada masyarakat Islam, selain menawarkan bantuan kepada mana-mana individu yang ketakutan berikutan ancaman yang dibuat menerusi surat itu.
Salah satu mesej yang ditulis seorang wanita menyatakan: “Jika anda seorang penganut Islam yang tinggal di sekitar Hammersmith/Askew dan berasa tidak selamat pada Selasa ini, anda boleh menghantar mesej (DM) kepada saya.
“Saya akan berada di rumah sepanjang hari dan bersedia untuk melindungi serta membantu anda”. – Agensi
KOMEN