KUALA LUMPUR – Pas menyokong Akta Berita Tidak Benar yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam, kerana banyak kesan positif untuk memulihkan akhlak dan perangai media massa menganjurkan maklumat kepada masyarakat
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia sebagai melihat kepada situasi hari ini yang banyak sangat perkara bohong dan fitnah disebarkan media massa khasnya media sosial.
“Pas pernah menyokong undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tahun 1957 ketika negara dalam keadaan darurat untuk menentang komunis dan golongan pelampau ketika itu,” katanya dipetik dari lidah rasmi Pas, Harakahdaily.net hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, walaupun kerajaan menyalahgunakan ISA apatah lagi ramai kalangan ahli Pas dikenakan hukuman tersebut, dari sudut moral Pas menyokong ISA demi keselamatan negara.
“Begitu juga menghidupkan moral yang luhur dan mulia, kita menyokong Akta Berita Tidak Benar ini.
“Negara kita menghadapi beberapa kali pindaan undang-undang, itu sebagai satu langkah yang awal untuk membuat perubahan.
“Dalam Islam ianya diserahkan dalam undang-undang ta’zir, iaitu diserahkan kepada budi bicara badan kehakiman dan pihak pemerintah,” katanya.
Kata Abdul Hadi, ada kemungkinan berlaku salah guna pada akta itu, tetapi Pas melihat dari sudut pandang kesan positif bagi mendidik rakyat serta memberikan kemudahan jika parti itu diberikan kemenangan tanpa perlu meminda, hanya melaksanakan sahaja,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan, Pas satu-satunya parti yang tidak membenarkan maklumat fitnah dan diharamkan oleh agama. – MalaysiaGazette
KOMEN