Home » Langit Terbuka » MBSB Bank mahu jadi bank Islam premier, terkemuka

MBSB Bank mahu jadi bank Islam premier, terkemuka

AHMAD ZAINI OTHMAN

KUALA LUMPUR 2 April – Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) yang mengambil alih Asian Finance Bank Bhd. (AFB) berhasrat menjadi bank Islam premier dan terkemuka selepas penjenamaan semula syarikat berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, bank baharu itu akan mengguna pakai lebih banyak penyelesaian digital bagi semua kemudahan, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Beliau berkata, MBSB telah membelanjakan sebanyak RM250 juta bagi mentransformasikan platform sedia ada kepada platform digital.

“Jumlah ini bi­arpun kecil tetapi bagi sebuah bank baharu adalah satu jumlah yang signifikan.

“Dari segi pendekatan perniagaan, kita akan menggunakan lebih banyak penyelesaian digital tetapi ini memakan masa dan menjelang Mac 2019 kita yakin dapat membangun dan menawarkan satu penyelesaian lengkap kepada pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

MBSB membeli 100 peratus kepentingan AFB pada harga RM644.95 juta menerusi gabungan pembayaran tunai dan saham-saham baharu MBSB.

Pengambilalihan itu me­nyak­sikan AFB menjadi syarikat milik penuh MBSB yang dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kemudian­nya menukar hak milik aset dan liabiliti (A&L) patuh syariah MBSB ke AFB.

Tambah Ahmad Zaini, de­ngan pemindahan A&L dan seterusnya jenama baharu, MBSB Bank kini menjadi institusi perbankan Islam secara sepenuhnya dan yang kedua terbesar.

Katanya, misi menjadikan bank baharu itu sebagai bank terkemuka akan dipacu oleh lima nilai penting yang diterap­kan dalam kalangan kakita­ngannya iaitu rendah diri, profesionalisme, empati, etika dan kesungguhan.

Katanya, lima elemen penting tersebut akan memastikan bank baharu itu menjadi sebuah bank yang mempunyai masa depan cerah di samping memiliki pasu­kan warga kerja yang sentiasa berusaha mencapai matlamat penubuhannya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *