Home » Langit Terbuka » Program Tasmi’ dalam ETS

Program Tasmi’ dalam ETS

Proses hafazan dan tasmi’ dijalankan secara beramai-ramai di dua koc yang membabitkan tempoh perjalanan selama empat jam.

Program Sistem Pendidikan Maktab Rendah Sains MARA (SPMRSM) Ulul Albab adalah penyumbang kepada anjakan paradigma sistem pendidikan MRSM.

Program SPMRSM Ulul Albab ialah program pendidikan integrasi antara program pendidikan sedia ada (Sains Tulen) dengan program aliran agama termasuk Tahfiz al-Quran.

Bermatlamat melahirkan pelajar yang berlatarbelakangkan sains dan tahfiz al-Quran yang dapat memenuhi syarat untuk mengikuti pengajian dalam bidang profesional serta teknikal, MRSM Ulul Albab menekankan proses hafazan, tasmi’, khatam dan murojah.

Penekanan pengajian al-Quran itu untuk melahirkan pelajar yang dapat menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh tiga tahun pengajian di MRSM serta membina budaya saintifik al-Quran dengan pendekatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pengupaya.

Sejajar dengan matlamat itu, MRSM Ulul Albab Kepala Batas, Pulau Pinang membawa 105 pelajar tingkatan satu hingga lima mencari kelainan untuk proses hafazan.

Perjalanan lebih 300 kilometer dari KL Sentral ke Butterworth, Pulau Pinang dengan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) baru-baru ini terisi dengan alunan al-Quran daripada pelajar MRSM berkenaan.

Proses hafazan dan tasmi’ dijalankan secara beramai-ramai di dua koc yang membabitkan tempoh perjalanan selama empat jam.

Sepanjang perjalanan itu, pelajar memilih sudut tertentu dan tekun menghafaz beberapa surah sebelum menyemaknya dengan empat ustaz.

Penyelaras Program Shukli Suban, berkata Program ETS dan Perjalananku Bersama al-Quran adalah Projek Rintis Muafakat MRSM Ulul Albab, Kepala Batas bagi meneliti keberkesanan Program Tasmi’ di dalam ETS untuk diperluaskan dan dijalankan pada cuti sekolah yang akan datang.

Katanya, proses memperdengarkan ayat hafazan untuk semakan Ustaz atau dikenali tasmi’ itu dihafal pelajar berkenaan sepanjang minggu cuti sekolah pada Mac lalu.

“Melalui pendekatan ini, kami mengambil keberkatan musafir bagi meraikan pelajar yang telah khatam hafazan 30 Juzuk dan yang bakal khatam.

“Program ETS dan Perjalananku Bersama Al-Quran adalah inisiatif tambahan membantu pelajar untuk bersemangat memperdengarkan hafazan mereka kepada ustaz sebelum persekolahan bermula.

“Didapati pelajar begitu bersemangat dan seronok sepanjang perjalanan itu kerana medium luar sekolah yang dipilih membolehkan pelajar menghafaz sambil menikmati pemandangan luar,” katanya.

Pelajar yang bersedia dengan hafazan akan bergilir-gilir memperdengarkan hafazan untuk semakan. Jika ayat hafazan tidak lancar, pelajar diminta mengulang hafazan hingga lancar.

Menurut Syukli, jumlah halaman hafazan mengikut kesungguhan pelajar menghafaz ketika cuti sekolah lalu dan pemarkahan diberikan untuk rekod pencapaian pengajian berkenaan.

Katanya, hafazan adalah sebahagian subjek pengajian al-Quran di MRSM Ulul Albab.

Biarpun kepadatan ruang waktu untuk melakukan pelbagai aktiviti di samping pembelajaran akademik seharian, pelajar Ulul Albab sangat komited dalam menghafaz al-Quran.

“Pelajar akan melakukan hafazan sebanyak empat sesi selepas solat Subuh, mereka juga dikehendaki meneruskan hafazan di rumah sepanjang cuti sekolah dan cuba mendapatkan sebanyak mungkin halaman muka surat hafazan,” katanya.

Program SPMRSM Ulul Albab bermatlamatkan untuk melahirkan ahli profesional, teknokrat dan usahawan yang bukan saja berilmu pengetahuan tetapi mempunyai kemahiran dalam bidang keagamaan berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah sebagai generasi Ulul Albab.

Program ini adalah hasil cetusan idea mantan Pengerusi MARA Datuk Seri Idris Jusoh dalam usaha untuk mentransformasi sistem pendidikan khususnya MARA. – HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *