Home » Langit Terbuka » Pemimpin politik Islam jangan bertelagah – Mufti

Pemimpin politik Islam jangan bertelagah – Mufti

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR 1 April – Pemimpin-pemimpin politik dan masyarakat beragama Islam di negara ini diingatkan supaya bersatu dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara tersebut adalah tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang Muslim.

“Mana-mana umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan ke­pemimpinan mereka kepada seorang ketua iaitu ketua yang dapat menyatukan mereka dan semua pendapat tunduk kepada kebijaksanaannya,” katanya dalam Surat Terbuka Kepada Pemimpin Politik dan Masyarakat yang ditulis di akaun Facebook miliknya hari ini.

Dalam sistem demokrasi, beliau menambah, hak bersuara adalah dibenarkan tetapi akhlak dan adab perlulah dijunjung ke­rana mengakhlakkan diri dengan peribadi yang unggul lagi luhur adalah satu perjuangan yang amat tinggi nilainya.

“Apakan tidak, kerana kepe­mimpinan menjadi contoh dan suri teladan terbaik kepada anak buah masing-masing. Seperti yang dinyatakan oleh ilmuwan Islam, Ibnu Khaldun bahawa orang ramai mengikut agama pemimpin-pe­mimpin mereka,” katanya.

Bidalan tersebut kata beliau, adalah menepati realiti kemasyarakatan dan ia berlaku dalam kebanyakan kehidupan manusia justeru, dengan baiknya, pemimpin yang menjadi suri teladan maka sudah tentu akan memberi kesan mendalam kepada masyarakat serta orang bawahannya.

“Ketahuilah, kalian begitu juga diri ini akan dipersoalkan tanggungjawab ini di akhirat kelak. Maka, berkatalah yang baik-baik,” katanya.

Zulkifli turut menitipkan pe­sanan agar golongan pemimpin bercakap hanya yang benar serta baik dan jika tidak, lebih baik mereka berdiam diri.

Zaman kini, tambahnya, per­kara yang benar dan baik itu boleh jadi tidak ‘laris’ di mata manusia dan dipandang remeh namun Allah SWT sentiasa bersama mereka yang baik dan membawa panji kebenaran.

Beliau berkata, pemimpin-pe­mimpin tersebut juga perlu menjauhi daripada tindakan melabel-labelkan dan menggelar dengan gelaran yang tidak baik serta menjauhi daripada menghina, mencaci serta melaknat sesama sendiri.

Tambah Zulkifli, golongan itu harus menjauhi daripada perbuatan berbohong, mengelakkan percakapan atau ucapan yang boleh dipertikaikan atau membawa kesamaran serta memelihara lidah.

“Dalam perdebatan, nilai intelektual dan ketepatan maklumat serta hujah yang benar lagi sahih dengan dalil naqli dan mantiq aqli perlu dijunjung,” katanya.

Beliau seterusnya mengajak mereka bersama-sama menginsafi diri dengan merapatkan saf dan membina negara dengan akhlak yang mulia serta keperibadian yang unggul.

“Jika ini kita dapat pertahankan, negara kita akan tetap harmoni dan dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa.

“Bangsa apa pun kita dan agama apa pun kita, jika kita warga Malaysia dan tanah air kita adalah bumi bertuah ini, makanya me­numpahkan kasih sayang dan taat setia kepada tanah watan adalah wajib untuk kita pertahankan selama mana nyawa dikan­dung badan,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *