BIRMINGHAM, Britain – Seorang wanita bertudung bakal menempah tiket ke pertandingan Ratu Cantik England selepas berjaya memenangi tempat kedua dalam pertandingan Ratu Cantik Birmingham baru-baru ini.
Maria Mahmood, 20, pada mulanya teragak-agak untuk mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut kerana keadaan dirinya yang bertudung dan bentuk fizikal yang agak berisi.
Namun setelah dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa peringkat tersebut tiada pusingan memakai pakaian renang dan halangan saiz badan, Maria kemudiannya menghantar penyertaan.
Pekerja sosial itu memberitahu, dia ingin mencabar stereotaip negatif yang dihadapi oleh masyarakat Islam, mewakili kepelbagaian dan budaya di England.
Sekiranya Maria berjaya melepasi pusingan separuh akhir yang akan diadakan di Newark, Nottinghamshire pada bulan Julai nanti, dia akan menjadi wanita berhijab pertama yang menyertai pertandingan tersebut.
Pada tahun 2005, Hammasa Kohistani menjadi wanita Muslim pertama meraih gelaran Miss England selepas memenangi pertandingan ratu cantik itu. – Agensi
KOMEN