Home » Langit Terbuka » Jadikan masjid, surau pusat aktiviti masyarakat majmuk

Jadikan masjid, surau pusat aktiviti masyarakat majmuk

Masjid perlu digunakan sebaik mungkin untuk aktiviti kemasyarakatan.

PETRA JAYA: Masjid dan surau yang berada dalam kawasan kejiranan bercampur di Sarawak, diminta menjadikan rumah ibadat berkenaan sebagai lokasi perkumpulan utama umat Islam dan bukan Islam, sekali gus mewujudkan persefahaman antara agama.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kedua-dua rumah ibadat umat Islam itu boleh dijadikan kawasan bermesyuarat jiran tetangga, selain memberi peluang kepada jiran bukan Islam mengenali agama Islam secara lebih dekat.

“Ada masjid di Semenanjung menjadikan rumah ibadat berkenaan sebagai lokasi menyambut Tahun Baharu Cina. Jadi, saya berharap kita sebagai umat Islam di negeri ini menjemput rakan kita yang bukan beragama Islam agar bersama-sama dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Kita perlu memahami perbezaan agama lain dan usaha menjadikan masjid dan surau sebagai tumpuan utama bagi kawasan kejiranan adalah selaras dengan Islam sebagai agama membawa keamanan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya selepas merasmikan Surau As Sidiq, Lorong 4, Taman Matang Ville, di sini, hari ini.

Fadillah ketika mengulas lanjut, berkata selain menjadikan masjid dan surau sebagai pusat pembelajaran ilmu Islam, fungsi kedua-dua institusi Islam berkenaan mampu diperluaskan menerusi pembelajaran fardu kifayah.

“Masjid dan surau tidak sepatutnya menghadkan fungsinya dalam satu-satu konteks sahaja, malah ia boleh diperluaskan sebagai contoh menerusi penganjuran program mendidik anak dalam era teknologi maklumat atau program keibubapaan dalam era komunikasi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, berkata pihak pengurusan masjid dan surau juga disaran menggunakan teknologi bagi meningkatkan tahap kecekapan penyampaian ilmu secara menyeluruh, selain menguruskan soal kewangan.

“Jika ada keperluan, pihak masjid atau surau yang berada dalam kawasan sekitar boleh menderma dana masing-masing untuk menjemput pakar motivasi atau pakar universiti untuk memberi ceramah.

“Pilih satu lokasi bersesuaian, dan program berkenaan dipancarkan secara langsung ke masjid dan surau menggunakan internet,” katanya. – BERITA HARIAN

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *