Home » Langit Terbuka » Cara baru pantas hafal Quran, tiga bulan 30 juzuk

Cara baru pantas hafal Quran, tiga bulan 30 juzuk

Pelajar perempuan mengelilingi guru agama dalam bulatan untuk mempelajari al-Quran sempena Nuzul Quran di Putrajaya, 26 Julai 2013. — Foto Reuters

PUTRAJAYA, 1 April — Teknik hafalan singkat 30 juzuk Al-Quran dalam masa tiga bulan merupakan projek inovasi terbaharu diperkenalkan Pusat Tahfiz Integrasi An Nur yang diasaskan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM).

Pengasas YDKMM Dr Mohd Hizul Azri Md Noor berkata teknik tersebut tidak hanya mementingkan hafalan ayat suci Al-Quran, tetapi turut menggabungkan konsep tadabbur dan bayangan dalam membantu peserta menghafaz dan menghayati isi kandungan kitab suci itu serta mengamalkannya.

Beliau berkata, projek rintis teknik hafalan ini telah dilaksanakan pada 1 Januari hingga 30 Mac lalu membabitkan 45 orang peserta dan daripada jumlah itu 22 orang berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran.

“23 orang lagi peserta berjaya menghafal 20 juzuk Al-Quran. Projek itu diadakan di Pondok Kimi Eco Resort di Manjung, Perak dan berjaya mencapai matlamatnya untuk menguji teknik baharu ini.

“Peserta terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Hizul Azri menghadiri majlis konvokesyen siri pertama Pusat Tahfiz Integrasi An Nur yang disempurnakan oleh timbalan mufti Wilayah Persekutuan, Hashim Salleh.

Untuk menyertai program itu, setiap  peserta dikenakan bayaran sebanyak RM1,000 sebulan untuk  penginapan, yuran pengajian dan makan, katanya.

“Selepas ini kita menyasarkan untuk melaksanakan program yang sama pada Julai nanti namun, lokasinya belum dapat dipastikan.

“Kita juga merancang untuk membina pusat tahfiz tetap termasuk bangunan pengurusan yang dianggarkan bernilai RM50 juta,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang peserta yang berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran, Mohd. Syukri Abdullah, 19, berkata, teknik yang digunakan di pusat tahfiz itu berlainan dan memudahkan peserta untuk menghafal Al-Quran dengan lebih cepat.

“Melalui teknik ini saya berjaya menghafaz 30 juzuk dalam masa 61 hari,” katanya. — Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *