Home » Persuasif » Politik Islam tolak derhaka kepada pemerintah

Politik Islam tolak derhaka kepada pemerintah

USAHA Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menganjurkan Simposium Syiasah Syari’ah Dalam Konteks Peradaban Politik Masakini ketika demam pilihan raya umum sedang menampakkan simptonnya wajar puji walaupun ada pihak pada peringkat awal mempertikaikan keberhasilannya untuk mencapai objektif.

Simposium yang berlangsung sehari itu berjaya menemukan empat intelektual Islam yang menekuni kajian dalam bidang politik Islam, usul fiqh dan syari’ah, iaitu tiga dari Indonesia dan seorang dari Malaysia.

Pembentang dari Malaysia ialah Dato’ Haji Dr Wan Zahidi Wan Teh, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia, dan kini salah seorang Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Tiga intelektual dari Indonesia itu ialah dua dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kassim Kuala II, Pekan Baru,  Prof Dr Alaiddin Koto (pakar usul fiqh) dan Prof Dr Sudirman M Johan (pakar pemikiran politik Islam) dan seorang bekas Menteri Agama Indonesia (2001- 2004), Prof Dr Syed Agil Husin Munawar (pakar syariah).

Menariknya, ketiga-tiga ahli panel itu dilahirkan di Pulau Sumatera, Prof Dr Alaiddin dilahirkan di Bukit Tinggi (1954), Prof Dr Sudirman di Kerinci, Jambi (1953) dan Prof Dr Syed Agil Munawar di Palembang (1954).  Dato’ Haji Dr Wan Zahidi dilahirkan di Grik, Perak pada tahun 1942 adalah mantan Mufti Wilayah Persekutuan (2005-2014) dan Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan (2002-2004).

Ketika merasmikan simposium itu, Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha menyifatkan penganjurannya sebagai usaha untuk merealisasikan pemikiran politik Islam sebenar sekali gus menerapkan pemikiran berasaskan rabbaniyyah yang akan membentuk politik beradab.

Ini kerana, menurut Tan Sri Othman, perjuangan politik yang berdasarkan dendam dan perebutan kuasa akan menimbulkan fenomena permusuhan sesama sendiri dan seterusnya boleh mengancam kestabilan politik sesebuah negara.

Katanya, menurut Imam al-Ghazali, perjuangan saperti itu adalah tidak beretika kerana ia boleh menyebabkan negara dan rakyat berada dalam keadaan gelisah, tidak tenteram, kemudaratan dan  mengancam kesejahteraan ummah.

Dalam pada itu, Othman menegaskan walaupun Islam tidak melarang umatnya berpolitik, Islam turut menggariskan matlamat bepolitik itu bagi membebaskan manusia daripada kejahilan dengan menggariskan prinsip dan etika akhlak sebagai panduan atau batasan ketika  berpolitik.

Politik dalam kerangka Islam adalah sama sekali berbeza dengan pendekatan politik barat, Othman berkata, mengikut fahaman Niccolo Machiavelli yang menghalalkan apa jua cara demi matlamat pangkat serta kuasa sedangkan Islam meletakkan kemaslahatan ummah sebagai tujuan utama selepas menegakkan kebenaran agama dan keadilan,.

Perspektif itu adalah selari dengan pokok persoalan yang dikemukakan oleh Prof Dr Syed Agil Husin al-Munawar yang turut menolak pandangan bahawa politik Islam tidak mempunyai hubungan dengan Al-Qur’an dan Hadis hanya kerana istilah itu tidak disebut.

Menurut Prof Dr Syed Agil, jika difahami secara mendalam terdapat beberapa konsep yang dijelaskan dalam Al-Qur’an dan Hadis berkaitan dengan kerangka politik moden misalnya mengenai pemimpin dan kepimpinan,

Dalam kertas kerjan yang bertajuk Politik Dalam Islam dan Pedoman Kepada Ummah, Prof Dr Syed Agil berkata, “tuntutan Islam dalam politik dan kenegaraan sudah ada dalam Al-Qur’an dan Hadist tetapi dalam penerapan dan pelaksanaannya secara terperinci belum begitu jelas.

“Oleh kerana itulah ia telah menimbulkan berbagai interpretasi dan pemikiran dalam kalangan pemuka dan mujtahid Islam sehingga menimbulkan perbezaan pandangan ataupun hubungannya dengan pelbagai aliran falsafah dan budaya”, tambahnya.

Menurut bekas Menteri Agama era Megawati Soekarnoputri itu lagi, “politik dalam literasi Islam dikenali dengan istilah siyasah yang bermaksud pengaturan masalah keummatan dan ia tidak diorientasikan kepada kekuasaan semata-mata.

“Politik Islam berfungsi sebagai sarana penyempurnaan pengabdian kepada Allah SWT, menentang kuasa mutlak seseorang manusia ke atas manusia lain dan  ia adalah bertentangan dengan doktrin kalimat tauhid, iaitu membebaskan manusia dari kezaliman dan apa sahaja peraturan yang bercanggah dengan hukum Allah,” jelas Prof Dr Syed Agil.

 

Bagi Prof Dr Sudirman M Johan, ‘tidak terdapat individu yang secara spiritual hanya mencari keselamatan bagi dirinya sendiri dengan mengasingkan diri dari masyarakat kerana syariat Islam bukanlah hanya mengatur hubungan vertikal dengan Tuhan dalam bentuk upacara ritual dan ceremonial, melainkan merupakan kehidupan sosial nyata dijalani sesuai dengan hidupnya.”

SUDIRMAN M JOHAN

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja yang bertajuk Syiasah Sya’riyyah Dalam Pranata Sosial Masyarakat Melayu Malaysia di hadapan lebih 300 orang peserta dari badan bukan kerajaan (NGO), jabatan-jabatan mufti negeri, kakitangan Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan.

Menurut Prof Sudirman, sasaran utama Islam ialah membentuk sebuah masyarakat spiritual berlandaskan syari’ah dan kerana itu masyarakat Islam bebas mengembangkan apa pun kaedah dalam merealisasikan siyasah syar’iyah.

“Masyarakat Muslim diberikan kebebasan untuk merancang aturan hukum wadhiyah bersesuaian dengan prinsip-prinsip keadilan sosial dan ianya mestilah bersifat fleksibel bagi membolehkan peraturan-peraturan itu ditambahbaik dan disesuaikan menurut keperluan semasa” , terang pensyarah pemikiran politik Islam dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kuala II itu.

Sebagai seorang ilmuan dalam bidang usul fiqh, Prof Dr Alaiddin Koto berkata, umat Islam berhadapan dengan krisis kepimpinan buat pertama kalinya dalam sejarah sebaik sahaja Rasullullah wafat, dan krisis itu boleh disamakan dengan krisis perlembagaan dalam politik moden.

Ketika membentangkan kertas kerja yang bertajuk,  Doktrin Politik Sunni Dalam Bingkai Kesatuan dan Keutuhan Umat Negeri Melayu, Pof Alaiddin menceritakan bagaimana beberapa orang golongan Anshar sedang membuat perbincangan di Balai Bani Sa’adah untuk melantik Sa’ad bin Ubadah sebagai pemimpin umat Islam bagi menggantikan Nabi Muhammad SAW.

Ketika itu, para sahabat dan ahli keluarga sedang bersiap sedia untuk menguruskan pengkebumian jenazah Baginda.

Berita percubaan melantik Sa’ad akhirnya sampai kepada Umar bin Khattab dan kemudian Abu Bakar as-Siddik. Kedua sahabat Rasullullah SAW itu segera bergegas ke Balai Bani Sa’adah dan di pertengahan jalan, mereka bertemu dengan salah seorang pemimpin kanan kaum Muhajirin, yang juga sahabat Baginda.

Mendengarkan kesungguhan kaum Anshar untuk melantik Saab, ketiga-tiga sahabat Rasullullah kemudiannya memberikan cadangan untuk melantik Umar sebagai pengganti, yang kemudiannya Umar pula mencadangkan Abu Bakar.

Menurut Prof Dr Alaiddin, kesemua pihak yang berbincang dan mempertahankan pemimpin mereka akhirnya bersetuju menerima Abu Bakar sebagai pemimpin umat Islam bagi menggantikan Rasullullah dan ini merupakan satu perspektif menarik dalam teori politik di mana prinsip syura berjaya menyelesaikan krisis yang dihadapi umat Islam period awal selepas meninggalnya Nabi Muhammad SAW.

Kemelut kepimpinan itu cuba diatasi oleh Abu Bakar apabila dilantiknya Umar sebagai pengganti selepasnya dan ini menjadi satu lagi perkembangan menarik dalam pembentukan doktrin politik Sunni sehinggalah musyawarah sebagai proses membuat keputusan memilih pemimpin dan menetapkan dasar pemerintahan menjadi tunggak kejayaan sistem Khalifah yang dirintis oleh politik Islam.

Menurut Prof Dr Alaiddin, meskipun selepas Khalifah ar-Rasyidin berakhir dengan pembunuhan Ali bin Abi Talib oleh puak Khawarij yang bersengkongkol dengan Mua’wiyah bin Abi Sufian, kerangka politik Islam sebenarnya boleh diseusiakan dengan apa pun sistem yang hendak ditegakkan dengan syarat, dapat menjaga agama dan memerintah dengan adil.

Bagi Datuk Dr Wn Zahidi Wan Teh, Islam turut menekankan prinsip ketaatan kepada pemimpin di mana pemberontakan atau menjatuhkan sesebuah pemerintahan yang sah dilarang sama sekali kecuali dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah dan boleh merosakkan agama.

Dalam kertas kerja yang bertajuk Fiqh Wala’ dan Taat: Manhaj Penyelesaian Krisis Politik Semasa, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, tindakan khuruj atau memberontak pertama kali muncul dalam sejarah politik Islam pada tahun 37 Hijrah apabila golongan Khawarij bangkit membantah Khalifah Ali bin Abi Talib menerima tahkim dengan Mua’wiyah.

Akibat menerima tahkim atau perdamaian itu, jelas Dr Wan Zahidi, puak Khawarij bangkit menentang dan mengangkat slogan ‘tiada yang berhak menetap hokum kecuali Allah’ yang diambil dari surah al-An’am, ayat 57 dan menuduh Ali telah melakukan dosa besar apabila menerima hukum dari manusia.

Tidak cukup dengan dakwaan itu, Saidina Ali dituduh kafir dan halal dibunuh kerana melanggar hukum Allah.

Dr Wan Zahidi berkata, “tindakan Khuruj atau penderhakaan terhadap pemerintah ini merupakan fahaman bid’ah pertama yang lahir dikalangan umat Islam di mana ia hanya bermula ekoran perbezaan pendapat dalam menguruskan negara dan hal ehwal umat.

“Namun puak Khawarij menjadikan perbezaan ini sebagai satu akidah yang kemudiannya menelurkan rentetan fahaman dan tindakan yang menyimpang jauh dari fahaman Islam wasati yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” jelas Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan itu.

Bagi mengatasi kemelut politik umat Islam, Datuk Dr Wan Zahidi turut menyelusuri aspek sejarah bahawa “surah an-Nisaa ayat 59 dengan jelas Allah SWT memerintahkan Umat Islam bukan sahaja wajib taat kepada Allah dan Rasul-Nya, tetapi juga kepada para pemerintah dalam apa-apa keputusan yang mereka ambil demi kebaikan ummah.

“Tanggungjawab ini termasuk dalam bidang fiqhul wala’ watta’ah liulilamri, kesetiaan dan taat kepada pemerintah,” jelas beliau.

Menurut Dr Wan Zahidi lagi, “Imam Ghazali ketika menghuraikan kaedah amar makruf terhadap pemerintah menyatakan bahawa hubungan rakyat dengan pemerintah adalah lebih berat dari hubungan anak dengan ibu bapa.

Dengan itu, hisbah terhadap pemerintah tidak harus dilakukan melainkan pada peringkat tariff atau memberitahu, dan nasihat dengan kata-kata yang lembut sahaja,” katanya.

Menyorot mengenai perkembangan politik semasa di mana fitnah dan tindakan menentang pemerintah menggunakan media sosial, Dr Wan Zahidi berkata, tindakan menjatuhkan kerajaan secara tidak sah melalui demonstrasi, memburuk-burukkan dan melemparkan kecaman kepada pemerintah di laman sosial adalah percikan kecil kepada ciri-ciri pemikiran khawarij.

Datuk Dr Wan Zahidi Wan Teh, yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang dilantik pada tahun lalu berkata perbuatan itu tidak boleh dibenarkan kerana percikan pada peringkat awal itu boleh menjadi ancaman, selain bertentangan dengan kaedah Ahli Sunah Waljamaah.

Setelah selesai pembentangan empat kertas kerja dan majlis perasmian, di akhir simposium Timbalan Yang di Pertua YADIM selaku urusetia membentangkan 17 resolusi yang disepakati oleh kesemua peserta.

Ketika membaca kesemua resolusi-resolusi itu, Mohd Zaidi Ramli menjelaskan secara konsensusnya para peserta bersetuju agar prinsip siyasah syari’ah digunakan sebagai pendekatan terbaik untuk menyelesaikan masalah kehidupan masyarakat dan bernegara walaupun melibatkan komuniti bukan Islam.

Katanya, apabila melibatkan hubungan dengan bukan Islam, proses perundingan (ijtihad) perlulah dilakukan secara ilmiah dengan mengambil kira pelbagai perkara termasuk sejarah, sumber keputusan pendahulu (precedent) dan kepentinganya kepada masyarakat secara meluas.

Apabila sesuatu keputusan telah dibuat, jelas Timbalan Yang di Pertua YADIM lagi, keputusan itu hendaklah dipatuhi dan “peranan siyasah syari’ah sebagai institusi dalam penetapan syariat hendaklah diiktiraf serta disesuaikan dengan pelbagai bentuk sistem politik sesebuah negara.

“Apabila digunapakai hendaklah dilaksanakan secara berkesan oleh badan-badan penyelaras legitimasi agama Islam di peringkat kebangsaan secara harmoni dan diterima sebagai keputusan bersama,” katanya.

Resolusi Simposium Siyasah Syari’ah itu turut membuat ketetapan bahawa sebarang bentuk desakan, cubaan ataupun kritikan yang bersifat destruktif ke atas institsi-instusi Islam hendaklah ditolak manakala kumpulan-kumpulan pendesak mestilah dipanggil untuk berunding dan dijernihkan pemikiran mereka. – TANWIR

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *