Home » Langit Terbuka » Wanita bebas bersuara selagi tidak mendatangkan fitnah

Wanita bebas bersuara selagi tidak mendatangkan fitnah

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

KUALA LUMPUR, 1 April ― Islam tidak melarang wanita tampil bersuara apatah lagi menggunakan mikrofon, kata Mufti Kelantan.

Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata suara wanita hanya dikira sebagai aurat jika dalam solat.

“Suara wanita dalam sembahyang dikira aurat, tapi luar sembahyang bukan aurat, mereka bebas bersuara selagi tidak mendatangkan fitnah.

“Kita lihat contoh isteri Nabi Muhammad, Saidatina Aisyah Abu Bakar, dia mengajar semua orang, kalau suara di luar sembahyang pun dikira aurat macam mana dia nak mengajar,” katanya kepada ProjekMMO.

Kelmarin seorang wanita mendakwa dihentikan dari mengacara majlis di Kota Baru, Kelantan atas alasan suara wanita adalah aurat.

Ameera Aida kecewa larangan Majlis Perbandaran Kota Baru – Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menjejaskan kerjayanya dan terpaksa pulang awal ke Kuala Lumpur.

Semasa majlis kanak-kanak itu, Ameera berkata dia juga mematuhi etika pakaian dengan bertudung dan kemeja-T longgar.

Mengulas lanjut Shukri berkata insiden itu bukan melibatkan masalah kefatwaan tetapi isu pentadbiran.

“Saya rasa MPKB bertindak demikian atas sebab teknikal, salah faham atau mungkin penganjur tidak mematuhi syarat dan sebagainya.

“Orang perempuan sering beranggapan dengan memakai tudung sahaja sudah menutup aurat, boleh jadi ada masalah dengan kemeja-T yang dipakai, itu saya tidak pasti dan perlu disemak dengan MPKB,” katanya.

Yang Dipertua MPKB-BRI ketika dihubungi enggan mengulas lanjut. – MALAY MAIL

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *