Home » Wacana » Mendongak ke langit

Mendongak ke langit

Oleh JAZMIE MOHAMAD

Dongaklah ke langit. Lihatlah pada bulan, bintang, matahari, awan dan apa saja yang terlihat di mata. Kemudian lihat di mana kaki anda berpijak.

Memang kita sedang berpijak dibumi, tapi cuba pejamkan mata dan bayangkan: Ketika anda membaca apa yang ditulis ini, bumi sedang berputar pada paksinya selaju 1,670 kilometer sejam (km/j). Dalam masa yang sama, ia bergerak dalam orbitnya mengelilingi matahari dengan kelajuan yang tidak terjangkau di fikiran iaitu 107,200 km/j.

Bayangkan kelajuannya. Sebuah kereta F1 pun kelajuan maksimumnya sekitar 350 km/j, manakala rekod pesawat hypersonik terlaju iaitu X-43 NASA pula sekadar 12,144 km/j. Ajaibnya, kita tidak rasakan pergerakan bumi itu jauh sekali terpelanting dari tempat kita berpijak!

Sewaktu anda sedang membaca artikel ini – iaitu semasa bumi sedang bergerak mengorbit matahari – anda juga tidak sedar bahawa matahari sedang berputar dan bergerak mengelilingi pusat galaksi Bima Sakti dengan kelajuan 792,000 km/j. Manakala Bima Sakti pula sedang bergerak ke satu arah dalam kelajuan 2.1 juta km/j. Diulangi… 2.1 juta km/j!

Kembali ke Bumi, Sang Matahari yang anda lihat panas menyilau pada siang hari, dikelilingi oleh planet, termasuk Bumi. Planet-planet tersebut mempunyai bulan sendiri yang sentiasa berputar mengelilinginya.

Anda tidak terasa bahawa dalam sesaat sebenarnya Bumi ini bergerak selaju 30 kilometer. Planet yang lebih hampir dengan Matahari iaitu Utarid dan Zuhrah berputar dengan lebih pantas manakala Marikh, Zuhal dan lain-lain yang lebih jauh, bergerak lebih perlahan.

Siapa yang menciptakan semua ini?

Sekarang cuba bawa imaginasi anda keluar lebih jauh. Walaupun Matahari menjadi pusat kepada tatasuria kita, namun Matahari juga sebenarnya bergerak membelah semesta dalam kelajuan yang amat pantas.

Matahari bukan satu-satunya bintang yang terdapat di Bima Sakti. Terdapat kira-kira 400 bilion bintang lain di galaksi ini. Kalau bintangnya sudah 400 bilion, jumlah planet, komet, meteor dan sebagainya tentulah jauh lebih banyak.

Matahari berputar mengelilingi pusat galaksi yang terletak kira-kira 25,000 tahun cahaya. Kelajuan cahaya pula adalah 1.09 bilion km/j. Mampukah anda bayangkan jarak 25,000 tahun cahaya itu? (Ada saintis yang malah menganggarkan jaraknya ialah 35,000 tahun cahaya!).

Pening baca fakta ini? Tak apa, baca perlahan-lahan. Kalau pening lagi, ulang baca.

Okay, kita sambung: Kalau bumi melengkapkan putarannya mengelilingi Matahari dalam tempoh 365 hari, tahukah anda, Matahari pula memerlukan 225 juta tahun untuk melengkapkan putarannya mengelilingi pusat Bima Sakti! Ini yang dipanggil Tahun Galaksi.

Dianggarkan sejak Bumi dan Matahari terbentuk, kedua-duanya telah melalui 25 Tahun Galaksi. Maknanya, baru 25 kali Bumi dan Matahari melengkapkan putaran mengelilingi pusat Bima sakti. Bagi memastikan ia kekal berputar mengelilingi pusat galaksi, Matahari bergerak dengan kelajuan 792,000 km/j. Bumi, bulan dan planet-planet lain berputar mengikut pergerakan Matahari, juga dalam kelajuan yang sama.

Siapa yang mencipta semua keajaiban ini?

Tetapi bukan Matahari Bumi, bulan, komet dan planet sahaja yang bergerak. Galaksi Bima Sakti yang kita diami ini juga sentiasa bergerak akibat tarikan graviti objek-objek yang terdapat di angkasa raya.

Begitulah yang berlaku di galaksi-galaksi lain. Bukan satu, dua, seratus, seribu atau sejuta, dianggarkan terdapat berbilion lagi galaksi di alam maya ini. Semuanya bergerak dan berputar dengan gerakan dan putarannya sendiri.

Ahli astronomi mengatakan terdapat 48 galaksi berhampiran Bima Sakti. Ada yang besar dan ada yang kecil. Galaksi-galaksi ini juga didapati sedang mengelilingi `sesuatu’ yang menjadi pusat orbitannya (barycentre).

Begitulah halnya dengan berbilion-bilion lagi galaksi. Masing-masing bergerak dan berputar secara tetap, tanpa henti walau pun sesaat. Semuanya begitu kompleks dan misteri. Ahli-ahli astronomi masih terus meneropong, mengkaji dan meneliti kerana terlalu banyak rahsia yang belum terungkap.

Persoalannya, alam ini sebenarnya sedang bergerak ke mana? Hanya Tuhan yang tahu. Mungkin ke lohong hitam yang akan menyedut semua yang ada. Mungkin juga ke arah satu pertembungan maha dahsyat yang akan menghancurkan semua yang ada ini, lalu alam pun lenyap buat selama-lamanya…

Siapakah yang mengatur semua ini?

Pembaca sekalian, semua pergerakan yang disebutkan tadi sedang berlaku ketika anda membaca artikel ini. Dalam masa yang sama, anda juga tidak sedar bahawa di dalam tubuh anda sedang berlaku proses yang hampir sama, iaitu pergerakan yang penuh keajaiban dan misteri.

Pada saat ini, jantung anda sedang berdegup mengepam darah ke aorta, kemudian ke arteri-arteri utama. Dari arteri utama berpecah menjadi arteri kecil yang disebut arteriol. Kemudian berpecah lagi menjadi kapilari yang amat kecil saiznya.

Jumlah darah yang dipam oleh jantung adalah kira-kira 5.5 liter seminit. Darah ini mengalir ke seluruh tubuh anda secara terus-menerus untuk membekalkan oksigen dan zat-zat nutrien agar organ-organ tubuh dapat berfungsi dengan baik.

Kalau anda habis membaca fakta ini dalam tempoh seminit, bermakna jantung anda telah berdegup sebanyak 60 hingga 100 kali. Itu kalau normal. Anda tidak menyedarinya, kan?

Fakta seterusnya yang anda sering lupa, tubuh anda ini dibentuk oleh sel-sel yang terlalu kecil saiznya. Sel-sel ini saling berangkai antara satu dengan lain sehingga membenuk manusia dengan segala anggotanya. Berapa jumlah sel yang ada dalam tubuh anda? Dianggarkan jumlahnya ialah 200 trilion.

Dalam seminit dianggarkan sejumlah tiga juta sel akan mati. Namun jangan risau, sel-sel yang mati itu akan secara semula jadi diganti dengan sel-sel baharu. Dianggarkan dalam tempoh 24 jam, sejumlah 50 trilion sel baharu tumbuh.

Ah, terlalu banyak keajaiban yang sedang berlaku dalam tempoh sesaat. Ini termasuklah nafas yang anda sedut, penglihatan, pendengaran, perasaan, pergerakan badan dan otak yang berfikir.

Maka, setiap detik yang anda dan saya lalui ini sebenarnya adalah masa untuk kita memikirkan betapa agungnya kekuasaan Allah SWT. Yang perlu kita lakukan hanya sedikit saja, iaitu mendongak ke langit atau melihat kepada diri sendiri supaya kita menjadi umat-Nya yang bersyukur dan bertakwa. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *