KANGAR 27 Mac – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan ucapan tahniah di atas usaha Jabatan Mufti negeri dan Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat negeri kerana telah membangunkan portal e-tauliah bagi memudahkan urusan dan semakan maklumat berkaitan dengan sijil pentauliahan mengajar agama Islam di Perlis.
Baginda bertitah, usaha itu adalah sejajar dengan era teknologi maklumat yang semakin pesat berkembang untuk dimanfaatkan dalam urusan pentadbiran.
Pada masa sama, baginda turut bertitah memuji usaha Jawatan Kuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri kerana telah mengeluarkan satu garis panduan penceramah agama Islam di Perlis.
“Ini bertujuan bagi menjamin kualiti dan keberkesanan serta memberi kawalan kepada para penceramah agama Islam di Perlis. Garis panduan ini merangkumi tanggungjawab si penceramah, penganjur dan etika seseorang penceramah,” titah baginda.
Demikian titah baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Simposium Penerima Tauliah Dan Penganugerahan Sijil Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri 2018 di Perpustakaan Negeri, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan.
Turut hadir mengiringi baginda ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri bagi Hal Ehwal Agama Islam dan Pembangunan Insan, Datuk Khairi Hasan.
Selain daripada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan semua tenaga pengajar agama Islam di negeri ini supaya menjaga etika dan tatasusila sebagai guru agama yang menjadi contoh dalam masyarakat.
Titah baginda, antara yang perlu dipatuhi adalah menjaga akhlak dalam tindakan, berpakaian sesuai dengan majlis, menepati masa serta tidak menggunakan bahasa yang kasar, kesat dan lucah semasa di dalam pengajaran.
“Selain itu, hendaklah mematuhi dan menghormati undang-undang tubuh negeri Perlis dan MAIPs serta keputusan-keputusan fatwa rasmi negeri, memberi maklumat berkaitan agama dengan tepat dan bertanggungjawab.
“Mereka juga hendaklah tidak menyebut riwayat-riwayat palsu dan seumpamanya melainkan dengan tujuan menyatakan kepalsuannya, tidak berkempen untuk mana-mana parti politik, tidak melakukan serangan peribadi kepada mana-mana pihak serta tidak menjual menjual atau berkempen barangan di dalam masjid,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE
KOMEN