Home » Langit Terbuka » Akhirnya Siti Nurhaliza kongsikan wajah ‘Si Comel Pipi Merah’

Akhirnya Siti Nurhaliza kongsikan wajah ‘Si Comel Pipi Merah’

Inilah Si Comel Pipi Merah yang baru berusia tujuh hari. FOTO: Instagram Siti Nurhaliza

PETALING JAYA: Seperti yang dijanjikan, jantung hati rakyat Malaysia iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin secara rasmi memuat naik video dan foto wajah puteri sulungnya selepas tujuh hari kelahiran.

Video dan foto bayi pertamanya yang diberi gelaran sementara Fatimah Az-Zahra itu dikongsi buat peminat menerusi laman Instagramnya pada petang Ahad.

“Bismillahirrohmanirrohim dan Assalammulaikumm, saya dan suami (Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa) ingin memperkenalkan anakanda kami kepada semua yang menanti-nantikan detik ini.

“Hari ini merupakan hari ketujuh usia kelahiran anakanda kami yang kami namakan dengan gelaran Fatimah Az-Zahra selama seminggu ini.

“Inilah penyejuk hati, anugerah Ilahi, anakanda yang melengkapkan kehidupan kami,” tulis Siti.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza dan Khalid akan mengumumkan nama sebenar anak mereka secara langsung dalam satu majlis aqiqah dan tahnik yang akan diadakan pada pukul 9 malam ini di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa, Ampang dekat sini.

Semoga bayi comel ini membesar dengan sihat dan menjadi anak yang soleh.

Penyanyi lagu Percayalah dan Segala Perasaan ini turut mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang mendoakan keluarganya.

“Insya-Allah pada malam ini, suami saya akan mengumumkan nama sebenar anakanda kami dan boleh ditonton secara langsung menerusi akaun Youtube Siti Official Video bermula jam 9 malam.

“Kami akan mengadakan majlis maulid nabi, aqiqah dan tahnik pada malam ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kami selama ini dan hanya Allah saja yang mampu membalas jasa baik kalian. Semoga Allah merahmati kita semua,” katanya.

Dalam masa kurang 10 minit, foto pertama cahaya mata Siti dan suami menerima lebih 19,000 tanda suka manakala video yang dimuat naik dalam masa sejam ditonton seramai lebih 480,000 tontonan.

Siti Nurhaliza melahirkan bayi dengan berat 3.55 kilogram kira-kira pukul 8.17 pagi pada 19 Mac lalu di sebuah hospital swasta.

Ia turut dipanggil Si Comel Pipi Merah iaitu lagu khas yang dinyanyikan Siti untuk puterinya itu.

Bayi ini lahir selepas 12 tahun perkahwinan Siti dan Datuk K. -MSTAR

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *