KUALA LUMPUR 24 Mac – Platform teknologi, TravelCompute yang dibangunkan oleh syarikat 100 peratus milik bumiputera, Sutra Travel & Tourism Group of Management Companies berjaya menerima anugerah Produk Kebudayaan dan Pelancongan Terbaik Dunia di Vienna, Austria pada Jumaat lalu.
Anugerah itu diterima semasa penganjuran World Summit Awards (WSA) yang merupakan inisiatif Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengiktiraf kemajuan yang dicapai dalam bidang teknologi.
Pengarah Urusan Kumpulan Sutra Travel & Tourism Group of Management Companies, Datuk Syed Mohd. Razif Al Yahya hadir untuk menerima anugerah tersebut.
Platform berkenaan atau dengan nama penuhnya TravelCompute Travel & Tourism Big Data Platform menerima anugerah tersebut atas pencapaiannya menyediakan kemudahan daripada segi integrasi maklumat bagi memberi manfaat kepada pemain-pemain industri pelancongan antarabangsa.
Syed Mohd. Razif berkata, pihaknya gembira dengan pencapaian itu kerana menjadi satu-satunya syarikat Malaysia yang memenangi kategori Kebudayaan dan Pelancongan.
“Kami berasa bangga kerana kami menjadi satu-satunya syarikat dari Malaysia yang memenangi kategori ini dalam penganugerahan yang dianjurkan oleh badan dunia,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.- UTUSAN
KOMEN