Home » Persuasif » Amal konsep tabayyun

Amal konsep tabayyun

Penyebaran dan penerimaan maklumat yang begitu mudah hari ini menimbulkan suasana membimbangkan.

Biasa dengar kata-kata ‘niat tidak menghalalkan cara’? Sudah tiba masanya kita memberi perhatian kepada pesanan itu kerana apa juga alasan yang diberi, syariat agama tidak boleh dilanggar biarpun untuk tujuan yang baik.

Apatah lagi senario mutakhir ini menyaksikan ramai yang suka menggunakan cara menyalahi syariat dan perintah agama kononnya untuk menegakkan kebenaran atau mengelak kejadian itu daripada berulang.

Antara tindakan yang popular adalah menularkan gambar, video, komen atau perbualan atas alasan ingin menegakkan kebenaran dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Namun dalam kebanyakan insiden, tindakan itu lebih menjurus kepada keburukan berbanding mencapai matlamat diharapkan.

Sebabnya, perkara yang dibangkitkan belum dipastikan kesahihannya atau dimanipulasi oleh pihak tertentu atas niat hanya mereka yang tahu. Namun ia menarik perhatian netizen melalui pelbagai komen hingga menimbulkan persepsi negatif.

Lebih mendukacitakan, pihak menjadi mangsa yang mengetahui perkara itu sukar untuk mempertahankan diri dan bagi yang tidak sedar diri menjadi perbualan, hukuman sudah pun dijatuhkan terhadapnya tanpa sebarang perbicaraan.

Jangan dedah aib

Pensyarah Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Nizam Abdul Kadir menegaskan menjatuhkan air muka seseorang apatah lagi membuka aib mereka bertentangan dengan prinsip agama.

Beliau berkata, mendedahkan aib orang lain dengan niat ingin berkongsi kebenaran atau atas asas ingin melakukan amar makruf nahi mungkar, sebenarnya tindakan itu sudah pun dilarang oleh Allah SWT.

Sedangkan katanya, agama menyuruh kita menutup aib sendiri kenapa pula kita hendak menjatuhkan air muka orang lain.

“Jika kita buat perkara dilarang dan orang lain tidak mengetahuinya, agama suruh kita tutup aib sendiri. Benda yang Allah SWT sudah tutupkan untuk kita janganlah diceritakan kepada orang lain kerana jika diceritakan, bermakna kita mencarik tutupan Allah SWT.

“Oleh itu, apa juga niat atau alasannya, prinsip agama tidak membenarkan kita membuka aib saudara kita. Hendak bagi nasihat, kita berdua dengan dia tanpa menjatuhkan air mukanya,” katanya.

Amal konsep tabayyun

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam tindakan mereka supaya niat baik tidak tercalar oleh perkara yang bersalahan dengan tuntutan agama. Adalah lebih baik amal makruf nahi mungkar itu dilakukan dengan jalan yang betul.

Ditanya mengenai kejadian atau maklumat diviralkan yang berjaya membantu pihak berkuasa menyelesaikan masalah berlaku, Mohammad Nizam tetap menegaskan, setiap maklumat diterima perlu disahkan terlebih dulu.

Beliau menyeru umat Islam khususnya supaya mengamalkan konsep ‘tabayyun’ – memastikan kesahihan maklumat diterima bagi mengelak diri terjebak melakukan kesalahan menyebarkan maklumat palsu.

Katanya, dikhuatiri andai maklumat itu sebenarnya palsu dan tersebar, ia boleh menyebabkan suasana panik serta menimbulkan kacau-bilau yang akhirnya menyusahkan mangsa, ahli keluarga mereka serta pihak berkuasa.

“Sebaiknya periksa dulu dengan pihak berkuasa, jika betul kejadian dan ada laporan, baru boleh kongsi. Contohnya kita sendiri tidak pasti jika ayah itu merotan anaknya adakah rotan biasa saja atau mendera.

“Kita tidak diamkan dan kita tidak biarkan. Kita juga tidak viralkan kerana jika niat kita baik, terus salurkan kepada polis untuk diambil tindakan. Malangnya tidak ramai yang tabayyun dulu atau merujuk kepada pihak berkuasa,” katanya.

Tegur dengan baik

Mohammad Nizam berkata, Nabi Muhammad SAW banyak memberi contoh dan panduan bagaimana umat Islam boleh melakukan amar makruf nahi mungkar dengan cara yang betul seiring kehendak agama.

Beliau memetik sabda Nabi Muhammad SAW: “Tidaklah seseorang menutupi aib orang lain di dunia, melainkan Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat kelak.” (Sahih Muslim)

Nabi Muhammad SAW banyak menegur sahabat, tetapi Baginda tidak menyebut pihak yang melakukan kesalahan itu sebaliknya memberitahu orang ramai perbuatan salah yang dilakukan oleh sesetengah orang.

Dengan cara itu, siapa yang makan cili mereka akan terasa pedasnya. Jika kita mendedahkan wajah atau nama dengan alasan sebagai pengajaran kepada orang lain, hakikatnya kita melakukan kesalahan mengaibkan seseorang itu.

Islam menang dengan hak

Memetik ceramah pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid mengenai judul ‘Niat Tidak Menghalalkan Cara’, beliau menegaskan Islam tidak boleh menang atau tinggi dengan kebatilan dan kemungkaran, tetapi akan tinggi dengan perkara yang hak.

Katanya, Allah SWT tidak akan menolong kebenaran atau menjadikan syariatnya menang dengan pelanggaran terhadap perintah-Nya. Sepatutnya, tujuan menentukan jalan perlu diambil dan untuk mencapai tujuan yang benar, wasilahnya mesti benar.

“Tanggapan gunakan apa saja, yang penting kebenaran boleh zahir. Kebenaran tidak akan nampak dengan cara pelanggaran terhadap syariat Allah kerana Allah tidak akan menjadikan sebab yang melanggar perintah untuk mengangkat syiar-Nya.

“Untuk tujuan yang benar dengan menipu, itu salah dan tidak boleh. Umpama hendak bersedekah dengan merompak. Tidak akan bercampur hak dengan batil kerana hak selamanya hak, batil selamanya batil,” katanya.

Sebenarnya, penyebaran dan penerimaan maklumat yang begitu mudah hari ini menimbulkan suasana membimbangkan. Oleh itu, semua orang perlu lebih bertanggungjawab dan mengambil langkah keselamatan sebelum berkongsi atau menyebarkan maklumat – BeritaOnline

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *