KUALA LUMPUR: Kewangan Islam perlu kekal relevan dengan terlibat lebih proaktif dalam agenda global yang bertujuan membasmi kemiskinan dan ketidaksamaan, dan mengekal serta menambah baik kemakmuran dan kestabilan global, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah persamaan yang besar antara prinsip asas kewangan Islam dengan pelaburan memberi impak kepada sosial, menyediakan peluang yang amat besar bagi pasaran modal terutamanya untuk memanfaatkan pertumbuhan kukuh segmen pelaburan dan kewangan mampan yang meluas di seluruh dunia.
“Maqasid Syariah, yang sering dilihat sebagai menjadi asas bagi kewangan Islam seharusnya membentukasas bagi menstrukturkan pelan hala tuju strategik bagi pembangunan jangka panjang industri kewangan Islam,” titah baginda pada sesi Perundingan Meja Bulat mengenai Kewangan Islam SC-OCIS, di sini, hari ini.
Forum itu yang bertemakan “Meningkatkan nilai pasaran modal Islam menerusi pelaburan memberi impak kepada sosial”, dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS).
Sultan Nazrin juga bertitah ini merupakan pelan hala tuju yang membolehkan penggabungan isu-isu pembangunan mampan ke dalam pasaran modal, dengan mengambil kira cabaran pada hari ini tetapi tanpa mengkompromikan keupayaan generasi akan datang bagi memenuhi keperluan mereka sendiri.
Satu lagi peluang bagi menggabungkan kewangan Islam dengan objektif sosial dan alam sekitar adalah sifat dermawan, yang termasuk institusi sedekah dan wakaf.
“Inisiatif terbaharu dalam bidang ini memberi prospek baik bagi tinjauan kewangan sosial Islam.
“Pelancaran Sadaqa House oleh Bank Islam Malaysia awal tahun ini untuk memudahkan inisiatif kewangan sosial, merupakan pembangunan ketara dalam penggunaan kewangan Islam untuk mewujudkan impak sosial yang positif,” titah baginda.
Justeru, apa yang penting untuk diketengahkan adalah hakikat bahawa ia mempunyai ciri-ciri tadbir urus yang perlu untuk meraih kepercayaan dan keyakinan awam, yang merupakan elemen mustahak untuk menarik penyertaan pemegang kepentingan secara meluas, dan bagi memastikan kemampanan inisiatif tersebut.
“Memandangkan aset waqaf ada tersedia di tempat-tempat yang berbeza di dunia ini, dan terutamanya sudah tentunya di negara-negara yang majoriti penduduknya Islam, terdapat potensi besar bagi waqaf terutamanya untuk menyokong atau malahan memacu pembangunan kewangan sosial Islam, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di luar negara,” titah Sultan Nazrin. – BERNAMA
KOMEN