Home » Langit Terbuka » Teknologi pintar untuk jemaah umrah, haji

Teknologi pintar untuk jemaah umrah, haji

Teknologi itu dapat memendekkan tempoh untuk pemeriksaan imigresen atau kastam di lapangan terbang.

MAKKAH – Pihak berkuasa Arab Saudi memilih menggunakan teknologi pengurusan data pintar untuk memendekkan tempoh menunggu di lapangan terbang bagi jemaah haji dan umrah yang berkunjung ke negara itu.

Satu daripadanya ialah memperkenalkan gelang tangan RFID (identifikasi frekuensi radio) untuk mempercepatkan pemeriksaan identiti semasa ketibaan dan berlepas di lapangan terbang.

“Pada masa ini, ia mengambil masa lama untuk melepasi pemeriksaan Imigresen atau Kastam. Dalam masa terdekat, kami berharap ia mengambil masa tidak sampai 10 minit,” kata Naib Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Abdulfattah Suliman Masha.

Beliau berkata melalui gelang tangan RFID itu, jemaah haji tidak perlu lagi mengeluarkan pasport di pusat pemeriksaan kerana mereka akan didaftarkan secara automatik apabila melalui pintu elektronik.

Abdulfattah yang dilantik ke jawatan itu baru-baru ini, berkata teknologi tersebut juga membantu mengenal pasti hotel jemaah dan bas yang sepatutnya mereka naiki dari lapangan terbang itu.

Rancangan lain ialah untuk memudahkan perkhidmatan pemunggahan dan pemindahan bagasi jemaah ke destinasi mereka tanpa perlu membawa sendiri bagasi dari hotel ke lapangan terbang sebelum berlepas pulang.

“Anda tidak perlu membawa beg dan anda tidak perlu menunggu bagasi,” katanya dan menambah ia termasuk air zam zam.

Dr Abdulfattah yakin sistem itu akan berjaya dilaksanakan bagi jemaah Malaysia dan memuji pengurusan Tabung Haji yang cekap mengendalikan jemaah negara.

Beliau memberi penarafan 9.5 daripada 10 kepada Tabung Haji kerana kecekapannya mengendalikan jemaah haji Malaysia.

“Mereka sangat teratur. Setiap kali kami mempunyai idea baharu, kami akan terus memaklumkan kepada Tabung Haji untuk dilaksanakan,” katanya.

Dr Abdulfattah berkata projek perintis telah berjaya dilaksanakan dengan Tabung Haji tahun lalu dan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang melaksanakan proses imbasan awal bagi jemaah haji.

Program itu membolehkan jemaah haji menjalani imbasan awal di Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan mereka tidak perlu lagi melalui proses Imigresen Arab Saudi apabila mendarat di Jeddah dan Madinah.

Beliau berkata ini adalah antara inisiatif yang akan dilaksanakan Kementerian Haji dan Umrah dengan kerjasama kementerian lain yang berkaitan di negara ini sejajar dengan Wawasan 2030 kerajaan Arab Saudi.

Beliau juga berkata kuota haji akan kekal sama pada tahun ini bagi semua negara.

Dr Abdulfattah menjelaskan kuota itu dinaikkan tahun lalu dan pihak berkuasa Arab Saudi tidak mampu untuk menambahnya lagi berikutan kemudahan yang terhad di Mina.

“Kami tidak mahu mengambil risiko aspek keselamatan jemaah melainkan kami telah menyiapkan projek baharu pembinaan bangunan di Mina. Saya tidak fikir ia idea yang baik,” katanya.

Beliau turut mengumumkan rancangan untuk membina bangunan bertingkat menggunakan teknologi hijau di Mina tahun ini yang akan mengubah landskap bandar khemah di Mina.

Kompleks itu akan dilengkapi dengan kemudahan standard yang tinggi dan setiap satu akan dapat menampung 4,000 jemaah haji.

Beliau berkata kementeriannya sedang mengkaji kemungkinan menggunakan teknologi pintar dalam usaha menawarkan jemaah pengalaman terbaik mengerjakan haji ke tanah suci. – Bernama

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *