Home » Langit Terbuka » Facebook terus berdepan tekanan

Facebook terus berdepan tekanan

Zuckerberg memohon maaf atas kesilapan itu dan berjanji untuk menyekat akses pembangun aplikasi daripada menggunakan maklumat penggunanya.

WASHINGTON – AMERIKA SYARIKAT. Facebook Inc, semalam terus berdepan tekanan pelbagai pihak termasuk pembuat dasar dan pelabur sehari selepas Ketua Eksekutifnya, Mark Zuckerberg mengaku rangkaian media sosial itu membuat kesilapan dengan membenarkan data 50 juta pengguna jatuh ke tangan syarikat konsultasi politik, Cambridge Analytica.

Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) turut meminta Zuckerberg memberi penjelasan secara peribadi di Washington tentang tindakan susulan yang akan diambil syarikatnya.

Selain itu, pengiklan seperti Mozilla dan Commerzbank bertindak menggantung perkhidmatan pengiklanan di platform Facebook sementara hashtag #DeleteFacebook kekal popular di atas talian, namun tidak jelas jumlah pengguna yang telah memadamkan akaun mereka.

Kebimbangan yang semakin meningkat juga menyebabkan pelabur terus menjual saham Facebook hingga menyebabkan syarikat media sosial gergasi itu kehilangan lebih $50 juta (RM195 juta) dalam nilai pasaran selepas Cambridge Analytica didakwa menggunakan data pengguna Facebook untuk membina profil pengundi AS yang mempengaruhi pilihan raya presiden 2016.

Lima hari selepas skandal itu terbongkar, Zuckerberg bertindak memohon maaf atas kesilapan itu dan berjanji untuk menyekat akses pembangun aplikasi menggunakan maklumat penggunanya sebagai sebahagian daripada rancangan perlindungan privasi.

Beberapa pihak menyatakan permohonan maaf itu bagaimanapun tidak cukup untuk meredakan tekanan politik pada syarikat media sosial terbesar di dunia itu.

“Bukan syarikat yang memutuskan apa keseimbangan sesuai antara privasi dan inovasi serta penggunaan data. Peraturan seperti itu sepatutnya ditetapkan oleh masyarakat dan Parlimen,” kata Menteri Digital, Kebudayaan, Media dan Sukan Britain, Matt Hancock. – Reuters

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *