TERPAKSA berkongsi al-Quran atau menggunakan salinan al-Quran, itu nasib pelajar sekolah agama atau maahad tahfiz di Kemboja kerana kesukaran mendapat kitab suci itu.
Ketua badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican berkata, keadaan pelajar di sana begitu daif sehinggakan banyak keperluan umat Islam seperti sejadah, kain pelikat, telekung dan sebagainya, susah didapati.
“Ketika memulakan program ke Kemboja pada tahun 1999, keadaan di situ begitu daif. Namun, syukur ramai rakyat Malaysia bermurah hati sedekah keperluan terbabit untuk mereka.
“Bagaimanapun, keperluan seperti itu masih berkurangan berikutan banyak pusat tahfiz dibuka serta bilangan penduduk Islam bertambah di kebanyakan tempat di Kemboja,” katanya.
Menurut Mustapha, walaupun keadaan mereka miskin, namun mereka tidak mengabaikan pendidikan agama.
“Kebanyakan ibu bapa di sana bekerja sebagai petani, namun mereka tetap mengutamakan pendidikan anak-anak agar dapat berbakti kepada masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, Mustapha memohon jasa baik kedutaan Arab Saudi di Malaysia untuk menyumbang al-Quran buat umat Islam di Kemboja.
Mustapha berkata, dia berharap sumbangan seperti ini berterusan agar dapat dimanfaatkan pelajar miskin, anak yatim dan golongan yang memerlukan.
Sementara itu, Penasihat Islam di Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Sheikh Abdulrahman M Al Herfi berkata, beliau memuji usaha rakyat Malaysia yang komited membantu membangunkan masyarakat Islam khususnya di negara yang memerlukan sumbangan.
“Ini bukan hal yang mudah. Ia memerlukan kecekalan dan kesabaran yang tinggi. Sejujurnya, saya bangga dengan usaha yang ditunjukkan Mustapha dalam memperjuangkan hak umat Islam,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, berkat kecekalan pihak Mustapha dalam membina empat masjid, surau dan pusat tahfiz di Kemboja, mendorongnya untuk menyumbang 1,000 al-Quran buat masyarakat Islam di negara itu. – HARIAN METRO
KOMEN