Home » Langit Terbuka » Dulu saya sangat ligat di pentas: Farah Asyikin

Dulu saya sangat ligat di pentas: Farah Asyikin

Farah Asyikin. Foto Astro Gempak

PENYANYI Farah Asyikin mengakui cintanya terhadap bidang nyanyian tidak pernah luntur.

Oleh kerana itulah, Farah Asyikin menerima tawaran untuk menyertai program realiti Islamik, GGV2 dengan hati yang cukup terbuka.

“Saya sangat berbesar hati apabila ditawarkan untuk menyertai program ini.

“Lagipun, GGV adalah satu program yang mengetengahkan garis panduan Islamik.

“Ini kerana, saya tak mahu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang saya sedang perjuangkan hari ini,” katanya.

Malah, pelantun lagu Kembali Lagi Di Sisimu ini juga menyifatkan pentas GGV sebagai medan untuk berdakwah.

“Jujurnya, saya tak tahu siapa lagi peserta yang akan terbabit sama. Tapi, saya percaya ini adalah satu perkara yang baik apatah lagi dikelilingi sahabat dan guru Usrah sendiri.

“Saya percaya mereka juga mempunyai satu matlamat sama iaitu memperjuangkan dakwah kreatif.

“Alhamdulillah, ia juga membuka satu ruang untuk saya belajar dan berdakwah,” katanya.

Lebih bertuah, penyanyi lagu Dari Sini Ke Bintang-Bintang ini juga mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada suaminya, Raja Iskandar Raja Muktharuddin.

“Alhamdulillah, suami sangat memberi dorongan dan kata-kata semangat.

“Katanya, ini adalah ruang yang dicipta untuk saya menyampaikan misi. Jadi, saya harus teruskannya,” katanya.

Mengakui kekok, namun pemenang trofi Artis Wanita Baharu Terbaik dalam Anugerah Planet Muzik 2008 ini mencuba untuk memberikan yang terbaik.

“Saya akui dulu saya sangat ligat di pentas nyanyian. Insya-ALLAH, saya cuba membuat persembahan yang menepati dengan imej saya hari ini,” katanya.

Pun begitu, berbeza dengan artis lain, Farah Asyikin mengakui tidak meletakkan GGV2 sebagai platform untuk menaikkan namanya kembali dalam persada industri hiburan.

“Sebenarnya, saya pun tak tau apa yang akan terjadi selepas ini. Dan… jujurnya, saya juga tak punya apa-apa perancangan selepas GGV2.

“Saya sebaliknya hanya berserah dan apa yang boleh saya janjikan, saya hanya mahu memberikan persembahan yang terbaik” akhirinya.

Farah Asyikin bakal berentap dengan 10 peserta berkumpulan dan solo iaitu Brothers, Devotees, InTeam, Mestica, Rabithah dan Heliza serta Hazwani (pasangan duo) serta Adeep Nahar, Awi Rafael, Fitri Haris dan Ippo Hafiz.

GGV2 akan disiarkan secara langsung selama tujuh minggu dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135) jam 9 malam bermula 31 Mac ini. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *