Ditawarkan pekerjaan di luar kem pelarian dengan gaji lumayan
COX’S BAZAR 21 Mac – Golongan kanak-kanak dan remaja perempuan etnik Rohingya berdepan dengan eksploitasi apabila mereka terjebak dalam kegiatan pelacuran angkara pihak yang tidak bertanggungjawab.
Berdasarkan penyamaran dan siasatan yang dilakukan oleh pasukan media BBC bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Foundation Sentinel, kegiatan terkutuk yang melibatkan golongan wanita etnik minoriti itu semakin berleluasa, terutamanya di kem pelarian Rohingya di sini.
Kebanyakan remaja perempuan dan ibu bapa etnik Rohingya memberitahu bahawa mereka ditawarkan pekerjaan di luar kem pelarian termasuk di Dhaka sebagai pembantu rumah, pekerja hotel dan pembantu dapur.
Selain itu, mereka juga ditawarkan jumlah gaji yang tinggi, sekali gus berjaya menarik minat golongan tersebut untuk menerima tawaran yang diberi tanpa mengetahui nasib yang akan menimpa mereka.
seorang daripada mangsa pelacuran yang dikenali sebagai Anwara, 14, berkata, dia melarikan diri dari Myanmar selepas ibu bapanya dibunuh tentera negara tersebut.
Dalam perjalanannya ke Bangladesh, dia ditahan seorang wanita yang menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan.
Termakan dengan tawaran itu, Anwara akhirnya terjebak dengan pelacuran apabila dia dipaksa melayan beberapa lelaki.
“Saya akan dipukul serta ditumbuk pada perut jika enggan bekerjasama atau tidak melakukan apa yang disuruh iaitu melayan lelaki yang ingin mendapatkan khidmat seks,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Masuda, 14, memberitahu bahawa dia terpaksa melakukan kerja terkutuk itu demi kelangsungan hidup selepas semua ahli keluarganya hilang, selain memaklumkan turut menjadi mangsa rogol tentera Myanmar.
“Saya tahu apa yang saya lakukan ketika ini adalah salah, namun saya tidak mempunyai pilihan. Saya tidak ada duit dan keluarga,” ujarnya.
Hasil penyamaran pasukan penyiasat BBC juga mendapati kanak-kanak Rohingya dikategorikan sebagai pelayan khidmat seks paling murah dan menarik di Bangladesh.
Kebanyakan mereka berusia antara 13 hingga 17 tahun dan jika tidak melayan pelanggan, mereka akan dikerah untuk membersihkan rumah serta memasak.
Selain Dhaka, golongan tersebut juga dihantar ke Chittagong, Kathmandu di Nepal dan Kolkata, India untuk bekerja sebagai pelacur.
Sehubungan itu, pasukan penyiasat BBC mengumpul semua bukti untuk diserahkan kepada pihak berkuasa Bangladesh bagi ditangani segera dan hasil serbuan polis berjaya menyelamatkan beberapa gadis Rohingya serta mereka diberi pelindungan sosial. – UTUSAN
KOMEN